Home Buletin Semasa 9 LOKASI DI PULAU PINANG RASAI GEGARAN SUSULAN GEMPA DI INDONESIA

9 LOKASI DI PULAU PINANG RASAI GEGARAN SUSULAN GEMPA DI INDONESIA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Sekurang-kurangnya sembilan lokasi di Pulau Pinang dilaporkan merasai gegaran susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu antara jam 7.23 malam hingga 7.27 malam.

Katanya, beberapa anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sekitar kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan.

“Antara lokasi terbabit ialah Baystar Condominium dan One Precinct di Lengkok Mayang Pasir, Barat Daya.

“Di Timur Laut pula, gegaran dilaporkan dirasai di Apartment Manggis, Condominium Summer Place serta Apartment Pelangi Gate, Lebuh Macallum.

Turut menerima laporan gegaran ialah Flat Pacific Megamall di Seberang Perai Tengah; Marminton Homes Butterworth dan Crown Plaza Hotel Butterworth di Seberang Perai Utara; serta TF-AMD Batu Kawan di Seberang Perai Selatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelasnya, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan, selain tiada sebarang kerosakan harta benda.

“Seramai 36 anggota termasuk penyelia terbabit dalam operasi pemantauan ini.

“Operasi masih dijalankan ketika ini dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan laporan Xinhua memaklumkan berlaku gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan wilayah Flores di Indonesia pada awal pagi Sabtu.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) negara itu turut mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa berkenaan.

Gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan, menyebabkan ramai penduduk yang panik bergegas keluar ke jalan untuk mencari tempat selamat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here