Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Keberanian dua sahabat mencetuskan kejayaan dalam mengusahakan projek ternakan udang putih secara komersial di kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sungai Miang, di sini.
Projek diusahakan lebih 27 tahun lalu oleh Mazri Mohd Ali, 56, dan All Fisha Abdul Ghafar, 59, membabitkan sepuluh kolam di tapak seluas 20 hektar yang mengeluarkan hasil setiap dua hingga tiga bulan bergantung kepada permintaan.
Mazri berkata, tanpa kekuatan semangat tidak mungkin dia mampu bertahan hingga kini, kerana untuk berjaya dalam sektor akuakultur banyak cabaran serta dugaan yang perlu dihadapi dengan penuh kesabaran.
Katanya, antara cabaran terpaksa dihadapi ialah memerang musuh utama yang lazimya menceroboh kolam pada waktu malam dan dianggarkan seekor haiwan berkenaan mampu makan udang di antara satu hingga dua kilogram (kg) setiap ‘serangan’.

“Kehadirannya dapat dikesan berdasarkan penemuan muntah haiwan berkenaan di atas batas kolam terutama yang terletak bersebelahan dengan hutan belukar.
“Penggunaan pagar zink antara kaedah berkesan menghalang memerang yang bergerak secara berkumpulan antara tiga hingga lapan ekor menceroboh kolam secara berterusan. Saya juga menggunakan beberapa ekor anjing untuk mengawal serta menghalau memerang.
“Turut memberi ancaman adalah biawak besar yang lazimnya memburu udang pada waktu siang namun jumlahnya tidak sebanyak memerang,” katanya, di sini semalam.
Mazri yang lebih terkenal dengan panggilan Awang berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai ancaman namun projek ternakan udang putih diusahakan lebih 27 tahun lalu tetap diteruskan kerana permintaan menggalakkan.

“Menternak udang putih lebih mudah berbanding ikan siakap, tilapia dan patin kerana dalam tempoh 70 hingga 120 hari bergantung kepada permintaan ternakan boleh dijual kepada pemborong.
“Jenis makanan, kandungan oksigen dan peratusan masin air dalam kolam penting untuk mendapatkan hasil baik,” katanya yang pernah menjadi nelayan di Kampung Nenasi di sini.
Sementara itu, rakannya All Fisha berkata, sebelum ini mereka menternak udang harimau namun hanya mampu bertahan beberapa pusingan sahaja berikutan ancaman penyakit selain peratus pembesaran yang panjang menyebabkan kos bertambah dua hingga tiga kali.
“Kami memasarkan udang putih untuk pasaran dalam dan luar kerana permintaan yang menggalakkan, malah pada bulan tertentu jumlahnya meningkat dua hingga empat kali ganda.
“Saiz kolam antara 0.4 hingga 0.7 hektar boleh memuatkan sehingga sejuta udang putih dan setiap kolam dapat menghasilkan antara tiga dan empat tan metrik udang putih dan dijual pada harga antara RM30 dan RM45 sekilogram,” katanya.
Katanya, sokongan agensi kerajaan melancarkan lagi projek yang diusahakan bagi menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama produk akuakultur terutama udang.
IMedikel TV






