Home Buletin Semasa CECAIR, PERALATAN VAPE BERNILAI RM186,500 DIRAMPAS

CECAIR, PERALATAN VAPE BERNILAI RM186,500 DIRAMPAS

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan merampas pelbagai perisa cecair termasuk peralatan vape bernilai RM186,500 di dua premis menerusi Ops Taring Landai di daerah ini, kelmarin.

Operasi turut disertai Bahagian Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut menahan empat lelaki berumur antara 23 hingga 30 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti menjual peralatan vape tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Komander PPM Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Khairuddin Jamal berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Operasi dan Risikan PPM Wilayah Tiga Kuantan bersama pasukan Penguatkuasa MBK bermula kira-kira 8.20 malam.

Menurutnya, menerusi operasi inter agensi itu pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan larangan dibawah Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Lesen Perniagaan dan Perindustrian.

“Menerusi serbuan di dua premis kita merampas 473 kotak pelbagai jenis peranti vape, 675 kotak cartridge, 4,185 kotak cecair vape pelbagai perisa dan 25 kotak pelbagai bateri peranti vape dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM186,500.

“Dalam operasi itu kita turut menahan empat lelaki berumur antara 23 hingga 30 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti menjual cecair dan peralatan vape,” katanya menerusi kenyataan media, kelmarin.

Tambahnya, siasatan lanjut terus dilakukan bagi mengenal pasti penglibatan empat suspek berkaitan barang kes yang dirampas, semua yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa MBK bagi tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin berkata, PPM Wilayah Tiga Pahang akan terus mempergiatkan operasi bagi membenteras aktiviti penjualan vape secara tidak sah daripada terus berlaku bagi melindungi kepentingan dan kesihatan awam terutama generasi muda yang ramai terbabit dengan aktiviti tidak sihat itu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta menangani risiko penyalahgunaan bahan terlarang dan kesan buruk terhadap kesihatan masyarakat.

“Masyarakat diseru dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jualan cecair dan peralatan vape kepada pejabat PPM Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here