Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat menyatakan beliau bakal mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS tidak lama lagi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik laporan Harian Metro, “Peringkat akhir menewaskan Iran sedang berlaku dengan begitu teruk, tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat,” kata Trump semasa majlis di Akademi Polis Nassau County yang baharu di Garden City, New York.
Trump turut memaklumkan bahawa sekatan laut AS ke atas laluan air strategik itu kekal berkuat kuasa, sambil mendakwa “tiada kapal yang lalu kecuali atas kebenaran kami.”
Beliau mendakwa barisan kepimpinan Iran telah lumpuh akibat perang, lalu menambah: “Isu utama saya sekarang: tiada sesiapa yang boleh diajak berunding.”
“Keadaan ini sukar. Saya pernah bertanya, ‘Adakah kamu pasti orang ini berada dalam keadaan baik?’ Ini satu-satunya negara di dunia yang tiada siapa mahu menjadi presiden,” kata Trump.
Mengenai kenaikan harga minyak yang dikaitkan dengan peperangan, Trump menjelaskan: “Jadi untuk anda membayar sedikit lebih mahal bagi petrol, ingatlah anda berbuat demikian supaya sebuah negara penaja keganasan nombor satu di dunia tidak mempunyai senjata nuklear.”
Bagaimanapun, pegawai tentera Iran mempertikaikan kawalan AS ke atas laluan air itu, dengan markas tentera pusat Iran pada Khamis menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai “penipuan dan rekaan tanpa asas.”
Sehingga 12 Ogos, sepanjang 166 hari perang meletus, sebanyak 3,371 kapal telah merentasi selat itu, iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah trafik sebelum perang, mengikut data daripada syarikat analisis data komoditi dan perkapalan, Kpler, yang dipetik oleh CNN.
AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata pada April lalu, sebelum menandatangani perjanjian pada 17 Jun bagi memulakan rundingan ke arah kelulusan muktamad.
Rundingan kemudiannya terhenti disebabkan perbezaan pendapat berkaitan jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran menerusi Selat Hormuz, antara laluan paling strategik untuk bekalan tenaga dan perdagangan global.
Bermula 8 hingga 24 Julai, AS dan Iran saling melancarkan serangan ketenteraan, menyaksikan Washington menembak sasaran di dalam wilayah Iran.
Tehran bertindak balas dengan membedil fasiliti serta kelengkapan tentera AS di beberapa negara Arab, termasuk Jordan, Bahrain dan Kuwait.-HMetro Online-
IMedikel TV






