MADRID: Marc Marquez memberikan gambaran membimbangkan mengenai keadaan lengan kanannya selepas melalui aksi sukar di Silverstone dalam saingan MotoGP.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, juara bertahan itu berharap keadaan lengannya lebih kuat selepas rehat musim panas, namun sebaliknya mengharungi hujung minggu paling mengecewakan sejak menjalani pembedahan pada Mei lalu bagi melegakan saraf yang terhimpit.
Selepas mengalami kemerosotan cengkaman tayar belakang yang teruk menggunakan tayar lembut dalam perlumbaan pecut, video terbaharu Inside Ducati di YouTube menunjukkan pasukan itu mengerumuni Marquez selepas dia menamatkan perlumbaan utama di tempat ketujuh.
“Hari ini tayar lebih baik. Tetapi dari segi fizikal, saya tidak berada pada tahap sepatutnya.
“Saya berdepan risiko untuk terjatuh. Saya tidak mempunyai kawalan terhadap lengan kanan saya.
“Berbanding sesi latihan… saya hilang kawalan di selekoh pertama dan kesembilan. Saya kurang selesa,” kata Marquez.
Ketika pelumba Aprilia mendominasi podium, Marquez hanya menjadi pelumba Ducati ketiga terbaik di belakang adiknya, Alex Marquez dan pelumba VR46, Fabio di Giannantonio.
Keputusan di Silverstone menyaksikan Marquez kini ketinggalan 40 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia, gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan aneh ketika berada di tempat ke-15, sekali gus melengkapkan hujung minggu yang cukup menyedihkan buat pasukan itu. – AGENSI, Hmetro Online –
IMedikel TV






