Home Buletin Semasa PENGHIDAP KANSER NEUROBLASTOMA PERLU DANA RAWATAN RM174,000 

PENGHIDAP KANSER NEUROBLASTOMA PERLU DANA RAWATAN RM174,000 

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

PENANG: Keceriaan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, Muhammad Aryan Muhammad Adli  bertukar menjadi perjuangan getir apabila dia disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat, dengan keluarganya kini berdepan kos rawatan mencecah ratusan ribu ringgit.

Muhammad Aryan dari Semenyih, Selangor yang sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif, ceria dan gemar tersenyum berubah selepas benjolan muncul secara tiba-tiba di sekitar mata kanannya pada penghujung tahun lalu.

Bapanya, Muhammad Adli Abdullah, 31, berkata, pemeriksaan lanjut termasuk biopsi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan anaknya itu menghidap penyakit itu pada tahap empat, dengan sel kanser dikesan di sekitar soket mata kanan dan kawasan berhampiran tulang belakang.

Lebih menyedihkan, katanya, selepas menjalani beberapa siri rawatan, sel kanser telah merebak ke bahagian abdomen, tulang belakang dan pinggul.

“Pada awal tahun ini, Muhammad Aryan menjalani lapan sesi kemoterapi sebelum pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan berukuran 10 sentimeter di bahagian abdomen.

“Dia kemudiannya menjalani pembedahan pada April lalu bagi membuang ketumbuhan sebelum meneruskan rawatan kemoterapi.

“Bagaimanapun, ujian susulan mendapati sel kanser masih aktif apabila dia mula mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pinggul,” katanya ketika mengunjungi Pejabat One Hope Charity di Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Tambah Muhammad Adli, pemeriksaan kemudiannya mendapati sel kanser di bahagian pinggul telah menekan saraf, menyebabkan Muhammad Aryan mengalami kesakitan yang teruk dan sekali lagi perlu menjalani lima sesi kemoterapi.

“Doktor turut mencadangkan rawatan imunoterapi bagi membantu mengurangkan risiko kanser berulang dan meningkatkan keupayaan tubuh melawan sel kanser.

“Namun, kosnya amat tinggi iaitu setiap dos ubat berharga RM58,000, manakala dia memerlukan lapan dos bagi melengkapkan rawatan yang menjadikan keseluruhan kos mencecah RM464,000,” katanya.

Menurut Muhammad Adli, dia tidak mampu menanggung keseluruhan kos berkenaan sehingga terpaksa mendapatkan sumbangan pelbagai pihak termasuklah memohon bantuan daripada badan amal, One Hope Charity & Welfare yang telah meluluskan permohonannya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati membantu mengumpul dana RM174,000 bagi membiayai perbelanjaan tiga dos ubat untuk anak kedua daripada tiga beradik itu.

“Bapanya bekerja sebagai perniaga stokis produk kesihatan, manakala ibunya, Ani Farhanah Kamal Ariffin, 31, yang sebelum ini menjalankan perniagaan dalam talian terpaksa meninggalkan perusahaan itu demi menjaga Muhammad Aryan sepenuh masa.

“Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak perempuan berusia lapan tahun dan dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).

Untuk maklumat lanjut, sila layari onehopecharity.org atau hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 dan 018-911 4192. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here