Home Hiburan ISTERI SAHKAN GERAKAN SOLIDARITI BANTU ISMAHALIL

ISTERI SAHKAN GERAKAN SOLIDARITI BANTU ISMAHALIL

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah, mengesahkan kewujudan gerakan Solidariti Ismahalil Hamzah bertujuan untuk membebaskan suaminya.

Memetik laporan Harian Metro, Nor Haslinda Abdul Manaf berkata, solidariti yang diwujudkan oleh Kelab Sahabat Bapakkufm sudah dilancarkan bermula hari ini menerusi platform media sosial.

“Memang ia daripada Kelab Sahabat. Mereka dah dapat kebenaran saya. Benda ini baru sangat dirancang. Bila dah selesai tengok, dengan akaun yang betul, dah finalise yang itu semua, saya pun beri persetujuan.

“Setiausaha kelab pun dah ‘blast’ dekat grup-grup semua. Sasaran utama mereka ialah untuk bantu kos guaman abang Ismahalil untuk proses di Mahkamah Persekutuan nanti.

“Tak ketinggalan ia juga untuk bantu kegunaan warung dan lain-lain. Tapi fokus utamanya memang untuk kos guaman,” katanya kepada Harian Metro.

Nor Haslinda berkata, mereka sedang mengenal pasti peguam yang sesuai untuk mewakili suaminya dan pada masa sama, akan melihat apa notis prosiding untuk digunakan di Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, proses ini juga akan ambil masa setahun untuk dilalui nanti. Dalam pada itu, Nor Haslinda memaklumkan, dia dan beberapa rakan baru sahaja melawat suaminya yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.

“Keadaannya okey. Ada juga riak sedih diwajahnya. Walaupun dia kata reda, tapi perasaan sebenar hatinya siapa pun tidak tahu kan? Kita suruh dia sabar sahaja.

“Cuma saya ingat amanah dia. Dia masih fikir pasal warung, pasal pekerja-pekerja dia dan fikir pasal kita sekeluarga. Paling dia risaukan sekiranya warung dia tutup, apa nasib pekerja-pekerjanya?

“Dia duduk fikir orang luar pula kan. Kita cakap sabar, tak apa. Tapi bila kami beritahu keputusan nak teruskan operasi warung, dia nampak gembira.

“Dia rasa lega sebab kalau boleh dia tak nak benda itu terkubur. Semua staf dia akan berganding bahu uruskan warung ini. Kami akan beroperasi semula minggu ini,” katanya.

Menurutnya segmen di radio Bapakku FM akan diambil alih sementara oleh DJ Apai.

“Kami juga akan meneruskan beberapa program yang sudah dirancang di situ seperti program membabitkan XPDC Kita Peng Yu dan lain-lain,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here