Home Buletin Semasa BAYI 16 BULAN MAUT DIDERA NENEK TIRI

BAYI 16 BULAN MAUT DIDERA NENEK TIRI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

Johor Bahru : Seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan meninggal dunia, dipercayai menjadi mangsa dera dan bunuh nenek tirinya yang menjaganya sejak lahir di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ibu kepada bayi yang tidak sah taraf berusia 16 bulan itu meninggalkan kanak-kanak malang itu kepada wanita berkenaan kerana dirinya masih menuntut di sebuah kolej vokasional negeri ini.

“Laporan diterima daripada nenek tiri berumur 39 tahun pada 31 Julai lalu, lebih kurang jam 9.30 pagi yang mendakwa bayi itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.

“Petugas kesihatan kemudiannya dipanggil bgai memberikan bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 10.30 pagi hari yang sama.

“Siasatan awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, tiada senjata dirampas daripada suspek.

Katanya Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang yang menjalankan bedah siasat pada 10.15 pagi, 2 Ogos lalu terhadap jenazah bayi terbabit, dan mendapati punca kematian disebabkan oleh trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.

Katanya pemeriksaan juga menemui kesan luka dan lebam di badan mangsa dipercayai akibat penganiayaan.

“Kertas siasatan kemudian diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis kemudian menahan nenek tiri mangsa, datuk dan ibu kepada mangsa bagi membantu siasatan.

“Nenek tirinya akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok, manakala dua lagi yang ditahan dibebaskan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here