Home Hiburan “KALAU SAYA MINTA MAAF, SEOLAH-OLAH SAYA YANG SALAH.” – DR. FIE

“KALAU SAYA MINTA MAAF, SEOLAH-OLAH SAYA YANG SALAH.” – DR. FIE

SHAH ALAM: Bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, tidak melihat keperluan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyanyi itu susulan kemelut membabitkan perjanjian yang dipersetujui mereka selepas perceraian.

Memetik laporan Berita Harian, Afifah berkata, dia sudah beberapa kali memohon maaf kepada Nubhan secara peribadi selepas perceraian dan tidak melihat keperluan untuk mengulangi perkara sama secara terbuka kepada umum.

“Bukan tiada keperluan, saya boleh nak minta maaf, tetapi saya sudah pernah beberapa kali minta maaf.

“Saya pernah minta maaf pada hari lahirnya dan hari raya. Jadi, dia nak permintaan maaf macam mana lagi? Adakah secara terbuka dan atas dasar apa?

“Kalau saya minta maaf, orang boleh buat spekulasi macam-macam seolah-olah saya yang salah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kedua kes komital yang difailkan Nubhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, petang semalam. 

Ditanya kemungkinan menyelesaikan kemelut mereka di luar mahkamah, Afifah berkata, setakat ini tiada perbincangan secara peribadi berlaku antara mereka. 

“Kami hanya berhubung melalui pekerja atau melalui peguam.

“Setakat ini pun tiada (perbincangan antara peguam) yang kalau saya minta maaf, kes ini boleh diselesaikan di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Afifah berharap Nubhan dapat membuka hati dan memberinya ruang untuk meneruskan kehidupan demi kebaikan semua pihak, terutama tiga cahaya mata mereka.

“Saya harap dan minta doa orang ramai supaya dia berlembut hati dengan saya.

“Berilah saya peluang teruskan kehidupan macam biasa. Dia pun boleh meneruskan kehidupan dia dan saya pun tidak mahu ganggu dia.

“Saya tidak boleh nak membolak-balikkan hati dia. Hanya Allah yang boleh membolak-balikkan hati dia,” katanya.

Afifah turut meluahkan kebimbangan sekiranya prosiding berkenaan berlarutan sehingga Januari depan kerana keadaan itu dikhuatiri memberi kesan kepada tiga anak mereka.

“Kalau kes berlanjutan sampai Januari, kasihanlah kepada anak-anak.

“Saya pun kena jaga hati dan perasaan saya supaya bila ibu mempunyai mental yang baik dan positif, barulah kita boleh melayan anak-anak dengan baik dan positif,” katanya.

Prosiding komital berkenaan difailkan Nubhan terhadap Afifah berhubung dakwaan pelanggaran perintah mahkamah, termasuk perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak selepas perceraian mereka. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here