Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Kerana minat yang mendalam saya sanggup berbelanja besar, yang penting basikal diidamkan berada dalam genggaman,” kata peminat basikal klasik, Bakhtiar Afendy Mat Noor, 54.
Katanya paling utama dia mampu memiliki basikal klasik pelbagai jenama dari luar negara berusia ratusan tahun yang menjadi suatu kebanggaan dan kepuasan buat dirinya yang meminati hobi mewah itu.
Katanya, harga mencecah RM25,000 bukan halangan untuk dia memiliki sebuah basikal berkarat hanya kerana imej sebagai kenderaan klasik hampir pupus dan semakin sukar ditemui.
Menurutnya, harga bukan penghalang padanya untuk memiliki basikal klasik luar negara yang begitu terkenal suatu ketika dahulu terutama di beberapa negara Eropah seperti Jerman, England, Perancis dan Switzerland.
“Dalam tempoh kira-kira 10 tahun terbabit dengan aktiviti mengumpul kenderaan tertua dunia itu, lebih 40 basikal klasik kini berjaya dikumpul yang bernilai lebih RM100,000, setiap satu dibeli dengan harga antara RM1,000 hingga RM25,000
“Bagi mendapatkan basikal klasik diminati, saya sentiasa berhubung dengan beberapa rakan di luar negara, mereka akan mencari kenderaan terbabit dan menghantarnya.
“Saya lebih suka mengekalkan ketulenan basikal klasik, warna cat yang pudar dan terdapat sedikit kesan karat menjadikan basikal berkenaan lebih menarik serta klasik. Nilai klasiknya terletak apabila ia kelihatan buruk, tetapi menarik,” katanya, di sini.
Beliau menambah, harga bukan ukuran kerana untuk memiliki basikal klasik individu terbabit perlu mengeluarkan modal yang lebih, harga bergantung pada jenama, usia, kesukaran mendapatkannya serta ketulenan.
Bakhtiar Afendy yang turut terbabit dalam hobi mengumpul lukisan berkata, terdapat basikal klasik yang peratus ketulenannya tidak mencapai 100 peratus terutama apabila komponennya sudah diganti, malah terdapat risiko tertipu sekiranya pembeli tidak mengetahui sejarah serta tahap ketulenan sesebuah basikal.
Bekas penuntut di Scotland itu turut memiliki sebuah basikal bertayar besar atau Penny Farthing buatan England yang dihasilkan pada 1880.
Katanya walaupun basikal berkenaan tidak lagi sesuai ditunggang atas faktor keselamatan, Bakhtiar Afendy tetap berbangga menjadi antara beberapa individu di negara ini berpeluang menyimpan kenderaan bertayar besar itu yang jarang ditemui itu.

“Antara basikal yang menarik milik saya ialah basikal tentera yang digunakan ketika peperangan dan kawalan keselamatan di England, Jerman dan Switzerland. Kenderaan berkenaan berwarna hijau dan dilengkapi tempat meletak senjata.
“Apabila seseorang itu meminati basikal klasik mereka tidak boleh terlalu berkira untuk mengeluarkan modal bagi membeli kenderaan yang diperbuat daripada besi dan beberapa bahan campuran lain.
“Terdapat beberapa basikal klasik yang saya miliki masih boleh digunakan, apabila ada program tertentu seperti Hari Kebangsaan saya dan rakan terbabit sama dengan menunggang basikal,” katanya yang bercita-cita untuk membuka muzium basikal suatu hari nanti.
IMedikel TV






