Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Walaupun pandemik COVID-19 sudah berlalu, petugas kesihatan tetap berada di barisan hadapan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pesakit terus terpelihara,” kata Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dr Zaidi Zakaria.
Beliau berkata, program berbentuk penghargaan seperti Nescafe On Call Santuni Warga HPUSM Selama 30 Jam penting bagi menyuntik semangat serta membuatkan warga kesihatan berasa dihargai atas komitmen mereka menjalankan tugas.

“Dulu ketika COVID-19, semua orang sedar bahawa kita adalah barisan hadapan. Tetapi selepas COVID-19 berakhir, semua orang mungkin sudah lupa.
“Sebenarnya kami sentiasa barisan hadapan. Jadi dengan adanya program seperti ini, saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semangat kakitangan kesihatan dan pada masa sama membantu pesakit kita,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Nescafe On Call Santuni Warga HPUSM Selama 30 Jam, di sini, hari ini.
Menurut Dr Zaidi, penghargaan kepada petugas kesihatan tidak semestinya dalam bentuk besar, sebaliknya perkara sederhana yang menunjukkan usaha dan sumbangan mereka dihargai turut memberi makna.
Katanya, selepas hampir 25 tahun bekerja dalam sektor kesihatan, program seumpama itu adalah satu inisiatif positif dalam menghargai warga hospital.
“Kadang-kadang mereka bukan mengharapkan ucapan terima kasih semata-mata, tetapi mereka mahu merasakan bahawa usaha mereka dihargai.
“Walaupun nampak seperti program minum Nescafe sahaja, sebenarnya ia penting untuk menghargai kakitangan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, HPUSM amat mengalu-alukan kerjasama pihak korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada warga hospital.
Menurutnya, kerjasama sedemikian bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi kesihatan dengan sektor korporat, malah membantu masyarakat memahami peranan serta cabaran yang dihadapi petugas kesihatan.

“Kita mahu sentiasa ada hubungan dengan pihak korporat yang boleh membawa mesej kepada masyarakat supaya mereka sedar mengenai tugas dan tanggungjawab kakitangan kesihatan.
“Ini termasuk usaha memastikan semangat petugas sentiasa berada pada tahap yang baik kerana mereka berdepan tugas yang panjang dan mencabar,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pengguna Nescafe Malaysia, Khoo Sui Ying berkata, pihaknya percaya petugas barisan hadapan bukan sahaja perlu dihargai, malah perlu diberikan sokongan untuk terus mengekalkan semangat dalam menjalankan tugas setiap hari.
Katanya, secawan kopi mungkin dilihat sebagai perkara kecil, namun waktu rehat seketika atau memulihkan tenaga amat bermakna terutama kepada petugas hospital yang menjalankan tugasan panjang dan sistem bertugas atas panggilan (on call).
“Kami percaya semua barisan hadapan bukan sahaja perlu dihargai, malah kita mahu menyuntik semangat kepada mereka setiap hari.
“Walaupun hanya dengan secawan Nescafe, momen untuk berehat seketika itu penting kerana mereka perlu terus bekerja, terutama warga hospital yang menjalani tugasan on call dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan sudah dimulakan sejak Mei lalu dan pihaknya berharap kerjasama dengan HPUSM dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada warga hospital dan seterusnya masyarakat Malaysia untuk terus mengekalkan semangat setiap hari,” katanya.
IMedikel TV






