Oleh: Wartawan IMedikel TV
Johor Bahru : Pekerja Pembersihan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini, selepas mengaku salah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, minggu lalu.
Tertuduh, T. Yuken, 25, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun jika gagal membayar denda, selain diperintahkan membayar pampasan sebanyak RM4,000 kepada isteri mangsa, Noor Adlin Roslan.
Tertuduh yang bekerja di Singapura turut dijatuhi hukuman, lesen memandu diendorse oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dan jika memiliki lesen percubaan, lesen dibatalkan oleh mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yuken sebagai pemandu kereta didakwa memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan cara yang merbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabkan kematian Muhamad Isa Damiri, 41, di Jalan Leong Bee, Gelang Patah di sini, kira-kira jam 4.20 pagi, 6 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 serta lesen memandu diendorse oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh sehingga lima tahun dan jika memiliki lesen percubaan, lesen akan dibatalkan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhaizam Rostam Affendi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh memohon hukuman yang ringan kerana benar-benar kesal dan mengakui kesilapan dilakukannya.
“Itu saya punya salah, saya mengaku. Minta kurangkan hukuman dan denda. Saya baharu masuk kerja seminggu dengan pendapatan Singapura Dolar SGD600. Saya juga jaga keluarga termasuk ibu yang tidak bekerja, ayah tukang kebun dan dua adik masih belajar,” katanya.
Bagaimanapun Muhaizam dalam hujah pemberatannya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam, kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Akibat pemanduan tertuduh, mangsa meninggal dunia di usia 41 tahun, malah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
“Mereka telah kehilangan suami dan bapa yang mempunyai tanggungjawab dan peranan penting menyebabkan kejadian ini sangat memberi kesan kepada keluarga mangsa.
“Mohon juga hukuman mengambil kira elemen pencegahan dan pengajaran kesalahan pemanduan tertuduh yang tidak boleh dipandang ringan, malah ketika kejadian, tertuduh memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans,”katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember nanti untuk sebutan semula bagi status pembayaran pampasan dan jika ia gagal dibayar, mahkamah akan menentukan perintah sewajarnya.
Mengikut fakta kes, tertuduh memandu Perodua Myvi masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal Honda C100B yang ditunggang mangsa yang sedang bergerak lurus.
Akibat pelanggaran itu, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.
IMedikel TV






