Oleh: Wartawan IMedikel TV
PASIR GUDANG: “Arwah adalah pinjaman dari Allah selama 12 tahun untuk saya jaga, InsyaAllah anak Abah dunia akhirat.”
Demikian luahan redha seorang bapa, Mohamad Khairudi Setapa, 42, selepas anak kedua daripada tiga beradik, Mohammad Haikal Ramzi, 12, ditemui lemas bersama rakannya, Muhd Adam Faris Arman,11 di kawasan empangan Taman Scientex, di sini hari ini.
Mohamad Khairudi menyifatkan anaknya seorang yang baik, peramah serta mudah mesra, namun menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih pendiam sejak seminggu lalu.

“Seorang yang baik, cepat ramah dan mudah berkawan. Arwah dengan rakannya yang lemas ini baru berkawan tiga hari tetapi sudah mesra, walaupun berbeza umur dan sekolah.
”Arwah keluar bermain sejak petang dan biasanya pulang 15 minit sebelum Maghrib. Namun semalam dia tidak pulang, menyebabkan kami sekeluarga keluar mencarinya sehingga ke lokasi kejadian sebelum menemui basikal miliknya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang, di sini hari ini.
Mengimbas perubahan sikap anaknya, Mohamad Khairudi yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata pemergian anaknya turut meninggalkan kesan apabila hajat terakhirnya untuk memiliki permainan koleksi robot tidak kesampaian.
Katanya arwah anak sedang mengumpul duit untuk membeli koleksi ‘blind box’ robot dan meminta ibunya membawa bekal setiap hari.
“Arwah memang minat mengumpul koleksi mainan robot dan kerap meminta saya beli setiap kali menjelang gaji.
“Saya beritahu dia, Insa’allah kalau ada rezeki lebih Abah belikan, tetapi beberapa hari selepas gaji anak mengulang permintaan seperti selalu,”katanya dengan nada sedih.
Mengulas mengenai tragedi itu, beliau percaya faktor dasar empangan yang berselut tebal menjadi antara punca kedua-dua mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
“Kalau kedalaman dua meter saya yakin anak saya masih boleh menyelamatkan diri. Namun, saya difahamkan kawasan empangan itu berselut tebal, mungkin keadaan itu menyukarkan pergerakannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haizrul Rahmad berkata, kedua-dua mangsa ditemui selepas empat jam operasi SAR mangsa dijalankan.
“Mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada pukul 2.12 pagi pada kedalaman kira-kira dua meter dan tiga meter dari tebing.
“Pada pukul 2.33 pagi, mangsa kedua berusia 11 tahun pula ditemukan pada kedalaman dua meter dan kira-kira 15 kaki dari tebing,”katanya.
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua jenazah kemudiannya dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang hari ini.
IMedikel TV






