Home Sukan SERI DENGAN CHELSEA, JDT PAMER KARAKTER SEBENAR

SERI DENGAN CHELSEA, JDT PAMER KARAKTER SEBENAR

JOHOR BAHRU: Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mengakui bangga dengan karakter dan semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan pemain Harimau Selatan selepas melakar keputusan seri 3-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sulta Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, Bergson, 35, berkata, fokus utama pasukan bukan sekadar keputusan perlawanan, sebaliknya identiti serta sifat pantang menyerah yang ditunjukkan di atas padang menentang mana-mana lawan tatkala memberi fokus untuk saingan Liga Super yang bermula 22 Ogos ini.

“Perkara paling penting pada akhirnya ialah karakter yang kami pamerkan di atas padang, tidak kira sama ada seseorang itu beraksi 90 minit atau 10 minit.

“Kami tidak pernah letih untuk mengejutkan orang ramai dengan apa yang mampu kami lakukan menentang pasukan gergasi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), sama ada di laman sendiri mahupun di tempat lawan,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan pramusim, termasuk kejayaan mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea 3-3, penyerang dari Brazil itu menganggap setiap langkah dan perlawanan yang diharungi memberi pengalaman baharu buat pasukan. 

“Sebelum perlawanan, siapa yang menjangkakan kami mampu seri menentang Chelsea? Tiada siapa sangka, malah kami hampir memenanginya. 

“Namun, fokus kami kini adalah perlawanan seterusnya menentang Kuching City untuk kembali mempertahankan Piala Sumbangsih.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan detik yang kami lalui, idea kami adalah untuk terus melangkah dan teruja menghadapi musim baharu tanpa jangkaan berlebihan, sebaliknya kekal bekerja keras,” jelasnya.

Menyentuh mengenai persaingan sengit di bahagian serangan berikutan kemasukan penyerang baharu dalam skuad Harimau Selatan, Bergson menganggapnya sebagai satu perkembangan positif buat kelab yang disertai sejak enam tahun lalu.

“Ini bukan perkara baharu bagi saya, setiap musim JDT sentiasa bertambah baik dengan membawa masuk penggempur baharu, ini adalah proses bagi kelab untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here