KUALA LUMPUR: Selepas diangkat Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34, tahun lalu, Sweet Qismina meluahkan rasa syukur apabila tidak terkena ‘badi’ anugerah yang sering dikaitkan dengan pemenang apabila rezekinya dalam bidang lakonan terus mengalir.
Memetik laporan Berita Harian, Sweet atau nama sebenar, Farhanna Qismina Supandi, 29, berkata rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus selepas memenangi anugerah berkenaan menerusi filem Babah, malah, tawaran daripada penerbit dan pengarah terus diterima untuk projek filem dan drama.
“Alhamdulillah, setakat ini, rezeki dalam bidang lakonan tidak putus diterima selepas setahun saya menang anugerah itu.
“Saya tidak ada rasa macam terkena badi anugerah seperti tanggapan orang atau tidak dapat tawaran berlakon ketika ini,” katanya ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection bersempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di sini, Jumaat lalu.
Sweet berkata, kebimbangan utama yang dirasainya selepas menerima pengiktirafan bukan mengenai tawaran lakonan, sebaliknya, keyakinan penerbit dan pengarah terhadap kemampuannya untuk memberikan kualiti lakonan lebih baik.
“Saya bukan takut tidak dapat tawaran berlakon, tetapi, bimbang kalau orang tidak yakin dengan kemampuan saya selepas dapat anugerah itu.
“Contohnya, saya takut orang kata, awak mesti boleh buat lebih daripada itu. Jadi, ia beri satu tekanan kepada diri kita. Saya takut benda-benda macam itu. Tetapi, setakat ini, semua tawaran yang datang disertai kata-kata positif.
“Semua cakap, saya boleh buat dan perkara itu buat kita rasa okay serta mesti bekerja keras,” katanya.
Ditanya sama ada dia meletakkan penanda aras terhadap watak atau naskhah selepas memenangi trofi berprestij FFM, Sweet mengakui risau apakah dia bakal terima tawaran lebih baik atau naskhah biasa yang mampu membawanya ke tahap lebih tinggi.
“Tetapi, saya bersyukur sebab semua tawaran yang datang daripada produksi, mereka beri pandangan yang sangat baik terhadap saya dan percaya dengan apa yang saya boleh lakukan.
“Jadi, perkara itu sebenarnya sesuatu yang baik untuk saya. Dahulu, mungkin orang fikir apakah saya boleh bawa sesuatu watak.
“Tetapi, sekarang, mereka cakap saya mesti boleh buat watak yang ditawarkan itu.
“Walaupun kita tidak yakin, apabila mereka cakap saya mesti boleh buat. Perkara ini membuatkan kita rasa takut tetapi pada masa sama, bersyukur sebab mendapat kepercayaan ramai orang,” katanya.
Sweet berkata, pengiktirafan di pentas anugerah seperti FFM secara tidak langsung membuatkan lebih ramai pihak membuka mata terhadap bakat lakonannya. – BH Online –
IMedikel TV






