Home Buletin Semasa GURU AGAMA NAFI LAKUKAN AMANG SEKSUAL TERHADAP PELAJAR LELAKI

GURU AGAMA NAFI LAKUKAN AMANG SEKSUAL TERHADAP PELAJAR LELAKI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seorang guru dari sebuah sekolah agama bantuan kerajaan(SABK) dihadapkan di 

Mahkamah Sesyen Butterworth, semalam atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki.

Tertuduh berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara antara April hingga Mei 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua hingga kelapan pula, dia didakwa mencabul tujuh pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun tanpa kerelaan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik dan kantin sekolah sama antara Mei 2023 hingga Januari 2026.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Muhd Najeeb.

Semasa prosiding Wan Amira tidak menawarkan sebarang jaminan namun, sekiranya mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan memohon jaminan setimpal serta mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.

Muhd Nazreev yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan diberikan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara dan tidak akan mengganggu mangsa.

Tertuduh juga menghidap penyakit kencing manis dan gout serta perlu menjaga anak saudara yang masih bersekolah selain akan mematuhi segala syarat tambahan diberikan mahkamah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM45,000 iaitu RM10,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM5,000 bagi pertuduhan kedua hingga ke lapan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan, menyerahkan passport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here