KUALA LUMPUR: Lamaran yang hadir kira-kira dua bulan lalu masih terasa seperti mimpi buat Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris apabila impian yang sekian lama tersimpan akhirnya menjadi kenyataan.
Memetik laporan Berita Harian, Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani bakal berkongsi pentas bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober, Noraniza mengakui dirinya masih dibayangi debaran menjelang detik bersejarah itu.
Lebih bermakna, penyanyi Awallah Dondang itu bakal menghidupkan kembali lagu Hati Kama yang pernah dirakam bersama Siti kira-kira 25 tahun lalu, namun tidak pernah dipersembahkan secara langsung di pentas.
Noraniza berkata, jemputan daripada pengurus Siti, Rozi Abdul Razak bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan dirinya sebak kerana tidak menyangka peluang itu akhirnya hadir.
“Saya terus melakukan sujud syukur selepas menerima jemputan itu. Dua hari juga saya rahsiakan daripada suami kerana saya cuba menyusun ayat yang sesuai untuk menyampaikan berita ini.
“Suami seorang yang mudah tersentuh. Dia tahu saya dan Siti mempunyai lagu bersama dalam album, tetapi sepanjang kami bersama, dia belum pernah melihat saya menyanyi bersama Siti di pentas.
“Dalam fikirannya, kami ke konsert Siti hanya sebagai penonton. Apabila saya beritahu Datuk Seri jemput kita menyanyi sepentas, dia terus terkejut dan menyebut Subhanallah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Tradisional Gema Bumantara di sini, baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 58 tahun itu, reaksi suaminya membuatkan dirinya semakin tersentuh kerana peluang itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Katanya, pengalaman melalui pelbagai cabaran dalam hidup membuatkan dia lebih berhati-hati untuk meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Saya sendiri hilang kata-kata seketika. Mungkin kerana saya sudah biasa melalui kegagalan dan pelbagai cabaran. Sebab itu saya sentiasa mengingatkan diri supaya jangan terlalu berharap.
“Kadang-kadang orang kata rezeki yang sudah berada di mulut pun boleh terlepas. Jadi sehingga hari ini saya masih tidak boleh tidur kerana perasaan takut, risau dan berdebar itu masih ada,” katanya.
Noraniza berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran berkenaan kerana menganggapnya sebagai satu penghormatan besar.
“Keputusan dibuat serta-merta. Saya terus cakap kepada Rozi, Alhamdulillah, terima kasih. Sampaikan salam saya kepada Siti. Apa sahaja yang dia lakukan, saya akan sokong.
“Saya juga tidak fikirkan soal bayaran kerana yang penting saya dapat membantu menjayakan konsert ini,” katanya.
Mengulas mengenai gandingan semula menerusi lagu Hati Kama, Noraniza mengakui cabaran kali ini jauh berbeza berbanding ketika lagu itu mula dirakam.
Katanya, faktor usia dan pengalaman menjadikan debaran kali ini lebih kuat kerana dia bakal berdiri di pentas besar bersama penyanyi yang dikaguminya.
“Dulu kami masih muda, sekarang suasananya sudah berbeza. Debaran itu tidak pernah hilang.
“Walaupun saya biasa menyanyi secara solo, apabila memikirkan perlu menyanyikan semula lagu itu bersama Siti selepas lebih dua dekad, saya jadi sangat gementar.
“Sejujurnya, saya seram untuk menyanyi dengan Siti. Walaupun saya selalu menyanyikan lagu itu menggunakan minus one, apabila perlu berdiri di pentas sama, perasaannya memang berbeza,” katanya.
Noraniza berkata, rasa gementar itu hadir kerana kekagumannya terhadap aura dan semangat yang ditampilkan Siti setiap kali membuat persembahan.
“Sejak saya menyanyi pada temasya SUKOM lagi, saya memang mengagumi semangat Siti apabila berada di pentas.
“Tidak semua artis, walaupun sudah lama dalam industri, mampu mempunyai semangat seperti itu.
“Semangat itulah yang menjadi inspirasi kepada saya untuk terus memperjuangkan Irama Malaysia. Bagi saya, kami bukan bersaing, sebaliknya sama-sama mengangkat martabat irama ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, Noraniza mengakui dirinya tetap berasa kerdil apabila diberi peluang berdiri di pentas yang sama dengan penyanyi nombor satu negara itu.
“Bila fikir nak menyanyi dalam konsert besar dengan iringan orkestra, saya rasa sangat takut. Saya rasa sangat kecil di sisi Siti Nurhaliza.
“Mungkin kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya lebih banyak terbabit dengan program tanggungjawab sosial dan komuniti.
“Apabila tiba-tiba diberi peluang berada di pentas sebesar ini, saya anggap ia satu penghargaan bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada penggiat seni yang masih berharap Irama Malaysia terus diberi tempat,” katanya.
Noraniza berkata, sebelum menerima panggilan daripada Rozi, dia sebenarnya hanya merancang untuk hadir sebagai penonton.
Katanya, ramai peminat pernah menyuarakan harapan agar dia kembali bergandingan dengan Siti, namun perkara itu diserahkan kepada pihak produksi.
“Sebenarnya saya tidak pernah mengharap terlalu tinggi. Memang ramai peminat minta saya menyanyi dengan Siti, tetapi saya fikir semuanya bergantung kepada pihak produksi.
“Apabila tahu Siti mahu mengadakan Konsert Tradisional Gema Bumantara, perkara pertama yang saya cakap kepada pengurus ialah jom cepat beli tiket kerana takut habis.
“Niat saya ketika itu hanya mahu datang menonton,” katanya.
Namun, sangkaan itu meleset apabila panggilan daripada Rozi membawa khabar yang jauh lebih bermakna.
“Saya ingatkan dia mahu jemput saya sebagai tetamu. Rupa-rupanya dia maklumkan saya akan menyanyi sepentas dengan Siti dan membawakan Hati Kama.
“Ketika itu saya hanya mampu berkata dalam hati, betulkah ini?
“Sampai hari ini saya hanya mampu bersyukur. Sudah lama sebenarnya saya merindui peluang menyanyikan Hati Kama bersama Siti.
“Kami tidak pernah diberi kesempatan melakukannya di pentas, walaupun lagu itu sudah lama dihasilkan.
“Apabila peluang itu akhirnya datang, saya anggap ia ketetapan Allah dan rezeki yang sangat besar,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






