Home Sukan SWIATEK MARA KE PUSINGAN KETIGA TERBUKA TORONTO

SWIATEK MARA KE PUSINGAN KETIGA TERBUKA TORONTO

TORONTO: Bekas pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, mengatasi detik mencemaskan sebelum menempah slot ke pusingan ketiga kejohanan tenis WTA 1000 Terbuka Toronto menerusi kemenangan 6-0, 6-3 ke atas pemain Republik Czech, Sara Bejlek.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam aksi pembukaannya sejak tersingkir pada pusingan ketiga Wimbledon, pemain Poland itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menguasai sembilan permainan pertama dan mendahului 3-0 pada set kedua.

Namun, Bejlek bangkit memberi tentangan sengit dengan memenangi dua permainan berturut-turut sebelum Swiatek berjaya menyelamatkan sembilan mata pematah servis dalam permainan keenam yang berlangsung selama 22 minit untuk kembali menguasai perlawanan.

“Permainan itu agak pelik. Kami berdua sering menukar rentak dan tempo, jadi agak sukar untuk menyesuaikan diri.

“Saya gembira kerana kekal fokus dan konsisten. Di penghujung perlawanan, aksi menjadi semakin mencabar dari segi fizikal,” kata Swiatek.

Swiatek yang kini menghuni ranking kelapan dunia terus bergelut mencari prestasi terbaik musim ini selepas merosot daripada kedudukan ketiga dunia tahun lalu.

Juara empat kali Terbuka Perancis itu turut mengalami kekecewaan apabila tersingkir pada pusingan 16 terbaik Roland Garros dan masih belum berjaya mara ke pentas final mana-mana kejohanan Jelajah WTA musim ini.

Cabaran seterusnya menyaksikan Swiatek akan berdepan pemain Switzerland, Viktorija Golubic yang menewaskan Donna Vekic dari Croatia 5-7, 6-2, 6-3.

Menurut Swiatek, tempoh rehat selepas Wimbledon dimanfaatkan untuk memperbaiki beberapa aspek teknikal permainannya.

“Saya banyak bekerja untuk memperbaiki rentak permainan dan mengelakkan daripada terburu-buru di gelanggang.

“Dalam latihan saya sudah mula membiasakan diri dengan perubahan itu, tetapi ketika perlawanan saya perlu lebih fokus supaya tidak kembali kepada corak permainan lama,” katanya.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dijadual memulakan kempen menentang pemain kelayakan Jepun, Moyuka Uchijima.

Sabalenka turut berusaha bangkit selepas tersingkir di suku akhir Roland Garros dan pusingan 16 terbaik Wimbledon, namun masih memiliki rekod cemerlang di gelanggang keras musim ini dengan 23 kemenangan daripada 24 perlawanan.

Dalam aksi lain, pilihan kesembilan dari Ukraine, Elina Svitolina bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Jessica Bouzas Maneiro dari Sepanyol 6-7 (5/7), 7-6 (7/4), 6-4.

Seorang lagi wakil Ukraine, Marta Kostyuk, pilihan ke-10 kejohanan, turut mara selepas mengatasi pemain tuan rumah, Katherine Sebov 7-6 (7/4), 6-0 meskipun ketinggalan 1-4 pada set pertama.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here