Home Buletin Semasa PROGRAM PENCERAMAH BEBAS DIHENTIKAN SERTA-MERTA – FADHLINA SIDEK

PROGRAM PENCERAMAH BEBAS DIHENTIKAN SERTA-MERTA – FADHLINA SIDEK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Semua program membabitkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta susulan dakwaan yang sedang tular di media sosial.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau telah mengarahkan supaya semua program membabitkan penceramah berkenaan dihentikan bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dijalankan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut diminta mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan berkenaan yang disifatkan serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.

“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.

“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perkara berkenaan supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis.

Menurutnya, laporan kepada pihak berkuasa penting bagi memastikan keselamatan serta kebajikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.

“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menghentikan semua program berkenaan buat masa ini adalah bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here