Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan video tular membabitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, adalah rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang berkenaan.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, insiden itu berlaku pada Isnin lalu ketika beliau mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi agensi itu di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Menurut kenyataan itu, dalam tinjauan berkenaan, Mohd Shuhaily bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti ‘ulat’ di kawasan KLIA.
“Tindakan itu susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban yang didakwa berlaku hampir setiap hari di KLIA.
“AKPS berkata, operasi berkenaan merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilaksanakan bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dijalankan secara menyeluruh serta konsisten,” kata AKPS.
Menurut AKPS susulan operasi itu, seorang warganegara asing dikenal pasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.
“AKPS ingin menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja dan tidak membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain,” menurut kenyataan itu.
AKPS turut menjelaskan, video tular berkenaan membabitkan dua individu lain yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi, memasuki ruangan bagasi terbabit tanpa disedari pegawai.
“Kedua-dua individu itu kemudian merakam sesi temu bual antara Mohd Shuhaily bersama warganegara asing berkenaan menggunakan telefon bimbit masing-masing tanpa kebenaran,” jelas AKPS.
Menurut AKPS, tindakan tersebut menimbulkan provokasi yang menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.
“Susulan insiden itu, kedua-dua individu terbabit membuat laporan polis sehari selepas kejadian, manakala satu lagi laporan dibuat dua hari selepas kejadian sebelum klip video berkenaan tersebar di media sosial,” kata AKPS.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily turut membuat laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Ia termasuk menyiasat keadaan bagaimana rakaman berkenaan diperoleh dan disebarkan,” kata AKPS.
AKPS berkata, penyebaran rakaman itu dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Ketua Pengarah AKPS dan agensi berkenaan.
“AKPS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun memetik laporan Sinar Harian, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden video tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
“Saya telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian mengenai perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima.
“Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya ketika sidang media hari ini.
IMedikel TV






