Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR DUA MURID SEKOLAH RENDAH

PENUNGGANG MOTOSIKAL MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR DUA MURID SEKOLAH RENDAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seorang penunggang motosikal yang videonya tular selepas melanggar dua murid sekolah rendah ketika melintas jalan di hadapan sebuah sekolah pada 23 September lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal dengan tidak cermat.

Tertuduh, Mohamad Amin Abdul Hamid, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali sebelum memohon agar kes berkenaan dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai pembantu khidmat am itu didakwa menunggang motosikal jenis Honda RS-X di atas jalan raya dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pejalan kaki.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Jalan Permatang Pauh, dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 7.20 pagi pada 23 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta boleh dipenjara sehingga 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Puvirajan.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu supaya jaminan minimum diberikan dengan alasan tertuduh baharu empat bulan bekerja selain perlu menanggung ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan seorang penunggang motosikal yang melanggar dua murid sekolah rendah ketika mereka melintas menggunakan lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah tampil membuat laporan polis selepas kejadian itu tular di media sosial.

Video insiden berkenaan mengundang pelbagai reaksi orang ramai, manakala kedua-dua mangsa yang berusia lapan dan sembilan tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah dilaporkan berkata, penunggang terbabit hadir ke balai polis trafik untuk membuat laporan dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here