Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Lelaki berusia 30-an yang dipercayai melarikan sebuah lori curi sebelum dikejar polis sejauh kira-kira 100 kilometer di Pasir Gudang pada semalam, direman tiga hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Tan Chiew King di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini.
Perintah reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata lori berwarna hijau itu dilaporkan hilang dipercayai dicuri di kawasan Plentong sebelum dikesan berada di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Katanya suspek dipercayai memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta peronda polis dalam kejadian itu.
“Polis turut menemui satu paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, manakala semakan mendapati dia mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.
IMedikel TV






