LISBON: Laporan media Eropah mendakwa majlis perkahwinan Cristiano Ronaldo bersama tunangnya, Georgina Rodriguez, semakin hampir menjadi kenyataan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, spekulasi tercetus selepas imej yang didakwa sebagai kad jemputan majlis itu tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan berkenaan tarikh, lokasi dan senarai tetamu, termasuk nama seteru lamanya, Lionel Messi.
Menurut laporan GiveMeSport, kad jemputan yang tular itu menetapkan majlis berlangsung pada 1 Ogos di Istana Quinta da Regaleira di Sintra, Portugal, dengan tetamu diminta mengenakan pakaian berwarna hitam.
Bagaimanapun, beberapa media Sepanyol kemudian menafikan kesahihan maklumat itu selepas istana berkenaan terus dibuka kepada orang ramai seperti biasa pada tarikh yang dinyatakan, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada jemputan itu benar-benar tulen.
Walaupun tarikh itu dipersoalkan, laporan menyatakan Ronaldo tetap merancang satu majlis perkahwinan mewah yang dijangka dihadiri ramai bintang sukan dan hiburan dunia.
Antara nama yang dikatakan berada dalam senarai jemputan ialah Rio Ferdinand, Kylian Mbappe, Vinicius Junior, Vin Diesel, Rihanna, Jennifer Lopez, Drake dan Travis Scott.
Messi turut dilaporkan berada dalam senarai tetamu, sekali gus membuka kemungkinan dua ikon bola sepak itu bertemu dalam suasana santai, jauh daripada persaingan sengit yang mewarnai karier mereka di atas padang.
Laporan sama turut menyebut lokasi pilihan utama ketika ini ialah Madeira, tempat kelahiran Ronaldo, dan bukannya Sintra.
Majlis dipercayai bakal diadakan di Katedral Funchal sebelum diteruskan dengan resepsi tertutup di sebuah resort berhampiran.
Walaupun tarikh pada kad jemputan yang tular dinafikan, pelbagai petunjuk menunjukkan majlis perkahwinan Ronaldo dan Georgina kini hanya menunggu masa untuk direalisasikan.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






