PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak memberi bayangan bakal kembali bergandingan dengan Johan selepas mengakui kerinduan untuk beraksi semula di pentas bersama rakan duonya itu.
Memetik laporan Berita Harian, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 42, berkata hasrat menghidupkan semula gandingan mereka tercetus susulan permintaan berterusan daripada peminat yang mahu melihat mereka kembali bersatu di pentas.
“Memang kami ada perancangan bersama, cuma saya belum boleh dedahkan lagi buat masa ini. Insya-Allah, perancangan ini dibuat kerana ia sesuai dengan peredaran semasa dan permintaan ramai.
“Malah, saya akui kami berdua sendiri pun rindu untuk beraksi bersama. Saya harap semua dapat nantikan dan doakan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri jam tangan G-SHOCK Bold Camo di JAM PJ, di sini, semalam.
Mengulas reaksi peminat yang masih mengharapkan penyatuan semula mereka, Zizan berkata dia tidak menyangka gandingan Jozan masih menerima sokongan yang begitu kuat walaupun sudah lama tidak tampil bersama.
“Memang betul, kalau lihat di media sosial, ramai yang kata rindu. Selepas gambar kami tular baru-baru ini, video-video lama saya bersama Johan di Threads kembali menjadi perhatian.
“Kalau betul rindu, jom kita bincang dulu. Saya pun kena bincang dengan Johan. Jadi, nantikan,” katanya.
Terdahulu, Zizan mencetuskan keterujaan peminat apabila memuat naik sekeping foto bersama Johan menerusi platform Threads, baru-baru ini.
“Selesai perjumpaan bersama @jozlynhanania. Jadi, adakah anda semua sudah bersedia?” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Dalam perkembangan lain, Zizan yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama dilantik duta tempatan jenama jam berkenaan, mengakui berbangga apabila diberi kepercayaan mewakili jenama antarabangsa itu. – BH Online –
IMedikel TV






