KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang akan memulakan misi memburu satu-satunya gelaran yang masih belum berjaya dimenanginya sepanjang karier gemilangnya, iaitu juara keirin Sukan Komanwel, esok.
Memetik laporan Harian Metro, kini berusia 38 tahun, Glasgow menjadi penampilan terakhir Azizulhasni di temasya empat tahun sekali itu dengan dia akan beraksi dalam tiga acara iaitu keirin, pecut individu (Sabtu) dan ujian masa satu kilometer (Ahad).
Azizulhasni memulakan cabaran menerusi acara keirin, sekali gus memberinya peluang beraksi dalam acara kegemarannya itu dengan keadaan fizikal yang masih segar.
Harapan memburu pingat emas turut mendapat suntikan semangat selepas pengesahan diterima, Rabu lalu, bahawa pelumba England, Matthew Richardson menarik diri akibat kecederaan yang dialami selepas terbabit dalam kemalangan di Jepun.
Richardson, pemegang rekod dunia acara pecut 200 meter, dianggap antara pelumba pecut trek terbaik dunia di belakang pelumba Belanda, Harrie Lavreysen.
Bagaimanapun, jurulatih Azizulhasni, John Beasley, berkata anak buahnya itu masih perlu berdepan saingan sengit daripada beberapa pelumba bertaraf dunia di Velodrom Sir Chris Hoy.
Antara pencabar utama ialah bekas juara dunia pecut berpasukan Australia, Leigh Hoffman; juara bertahan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago; serta bekas rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom yang memenangi gangsa keirin di Birmingham 2022.
“Berdasarkan prestasi di atas kertas, Azizulhasni mungkin menjadi pilihan kerana dia memenangi dua daripada tiga pusingan keirin Piala Dunia UCI tahun ini dengan menewaskan Lavreysen dan Richardson,” kata Beasley.
“Namun Hoffman juga cukup kuat. Jangan lupa Nicholas kerana dia juga bukan calang-calang pelumba dan merupakan pemenang emas keirin di Birmingham 2022.
“Apabila Shah turut berada dalam kelompok itu, ia menjadikan saingan sangat menarik.
“Persaingan dijangka sengit. Semuanya bergantung kepada siapa membuat keputusan terbaik ketika perlumbaan, selain sedikit tuah dalam undian,” katanya.
Awal tahun ini, Azizulhasni menewaskan Richardson dan Lavreysen untuk memenangi emas acara keirin pada pusingan Piala Dunia di Perth dan Nilai.
Pelumba kelahiran Dungun itu sebenarnya pernah menamatkan perlumbaan keirin Sukan Komanwel Delhi 2010 di tempat pertama diikuti Josiah Ng, namun dibatalkan kedudukannya dan diturunkan ke tangga keenam kerana tunggangan berbahaya. Pingat emas kemudian diberikan kepada Josiah.
Azizulhasni kemudian meraih gangsa acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 sebelum menamatkan saingan di tempat keenam pada edisi Gold Coast 2018.
Dia tidak beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan anomali arteri koronari yang dihidapinya sejak lahir. – HMetro Online –
IMedikel TV






