Home Sukan BERGVALL BEBAS BUAT PILIHAN – DE ZERBI

BERGVALL BEBAS BUAT PILIHAN – DE ZERBI

SYDNEY: Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi, mahu pemain tengah yang menjadi buruan beberapa kelab, Lucas Bergvall, kekal bersama pasukan itu, namun enggan memberi jaminan tempat dalam kesebelasan utama kepada pemain Sweden berusia 20 tahun itu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Bergvall dilaporkan mahu meninggalkan Spurs apabila menarik minat Newcastle United dan Nottingham Forest.

Masa depannya bersama kelab itu mula menjadi tanda tanya selepas ketibaan dua pemain baharu bernilai rekod kelab, Matheus Fernandes dari West Ham United dan Sandro Tonali dari Newcastle United.

De Zerbi menafikan Bergvall memaklumkan kepadanya bahawa dia mahu berpindah selepas menurunkan pemain itu dalam aksi persahabatan pramusim menentang Sydney FC, semalam.

Tottenham muncul pemenang menerusi penentuan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

“Saya sentiasa berterus terang dengannya dan juga kepada anda semua. Saya mahu dia kekal bersama kami. 

“Saya fikir dia berpotensi menjadi pemain bertaraf dunia. Namun saya tidak mahu memujuk sesiapa untuk terus kekal.

“Tottenham sudah pun sebuah kelab besar tanpa kehadiran saya dan kami tidak perlu memujuk sesiapa untuk kekal.

“Saya tidak boleh menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama kepada mana-mana pemain di dunia,” kata De Zerbi.

Penyerang Perancis, Mathys Tel, meledak sepakan percuma menarik untuk meletakkan Spurs di depan 1-0 pada babak pertama, namun mereka gagal menambah jaringan sebelum pemain import baharu Sydney dari Jepun, Takahiro Sekine, menyamakan kedudukan.

Kemenangan menerusi penentuan penalti hadir selepas Spurs menewaskan Auckland FC 2-0, Ahad lalu, ketika mereka meneruskan persiapan menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Brentford pada 22 Ogos.

“Saya fikir kami bermain dengan baik, terutama pada babak pertama.

“Pada babak kedua kami membuat banyak pertukaran pemain, namun kualiti permainan tetap baik. Saya juga berpuas hati dengan prestasi pemain muda,” katanya.

Tonali terlepas aksi pertama jelajah pramusim kerana mengalami kecederaan ringan, namun beraksi sepanjang babak kedua menentang Sydney, manakala seorang lagi pemain baharu, Andy Robertson, membuat penampilan sulung selama 25 minit.

Bagaimanapun, Fernandes tidak diturunkan dengan De Zerbi menjelaskan pemain itu hanya mengalami keletihan dan sedikit masalah pada betis, selain keputusan dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko.

Pengendali dari Itali itu turut memberi bayangan Fernandes mungkin terlepas aksi terakhir jelajah pramusim menentang Chelsea di Sydney, Sabtu ini.

James Maddison turut tidak beraksi bersama Kevin Danso, Destiny Udogie, Micky van de Ven, Jan Paul van Hecke dan Dominic Solanke.

“Saya fikir Danso, Van de Ven, Solanke dan Jan Paul van Hecke masih belum bersedia untuk bermain tanpa risiko.

“Mungkin ada antara mereka boleh diturunkan pada aksi menentang Chelsea, Sabtu ini. Mungkin bukan dalam kesebelasan utama, sebaliknya Robertson dan Sandro Tonali yang akan bermula.

“Ini soal menguruskan pemain. Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here