Home Buletin Semasa RIBUT ROSAKKAN KEDAI MAKAN, PENIAGA RUGI HAMPIR RM100,000

RIBUT ROSAKKAN KEDAI MAKAN, PENIAGA RUGI HAMPIR RM100,000

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

MACHANG: Seorang peniaga kedai makan mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas premis yang menjadi punca rezeki keluarganya rosak teruk dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Bukit Bilal, di sini petang semalam.

Mangsa, Nor Ayu Jusoh, 40, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang, dia dan pekerja telah menutup operasi seperti biasa pada pukul 5.30 petang sebelum pulang ke rumah.

Nor Ayu berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anak yang bekerja di sebuah bengkel berhampiran bahawa kedai berkenaan dipukul ribut.

“Ketika itu hujan lebat dan kami sudah berada di rumah. Anak saya telefon memaklumkan kedai terkena ribut. Apabila sampai, saya terkejut melihat keadaan kedai yang rosak teruk.

“Antara barang yang rosak ialah rak lauk bercermin, meja, kerusi, dinding batu serta pelbagai kelengkapan perniagaan termasuk bahan mentah untuk menyediakan makanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Bilal, di sini, hari ini.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 20 tahun, termasuk empat tahun di lokasi sekarang, berkata kedai berkenaan merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarganya yang mempunyai enam orang anak.

Dia berkata kerja niaga bersama suaminya, Muhammad Hafizuddin Ramli, 40, mereka berniaga setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 5.30 petang dan berharap ada pihak dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban untuk membaik pulih premis berkenaan.

“Semuanya menggunakan modal sendiri dan kalau ada pihak yang sudi membantu, walaupun sedikit, kami amat bersyukur kerana kerosakan yang dialami agak besar,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik bengkel kereta yang terletak kira-kira 20 meter dari kedai berkenaan, Tan Wei Ching, 35, berkata ribut berlaku secara tiba-tiba selepas hujan renyai sebelum bertukar menjadi angin kencang.

Katanya angin kuat itu menyebabkan bumbung dan struktur beberapa premis diterbangkan selain mengakibatkan pokok tumbang di sekitar kawasan berkenaan, namun semua pekerjanya sempat berlindung dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here