Home Buletin Semasa PENUNGGANG RXZ MAUT, PEMANDU WIRA DISYAKI BUAT PUSINGAN U

PENUNGGANG RXZ MAUT, PEMANDU WIRA DISYAKI BUAT PUSINGAN U

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar sebuah Proton Wira yang membuat pusingan U secara mengejut dalam kemalangan di Kampung Bunohan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, lelaki berusia 29 tahun, yang menunggang motosikal Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.55 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Chabang Empat menuju ke Kampung Banggol Beta melalui Jalan Tumpat-Pasir Mas.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira yang berada di hadapan dan bergerak sehala dipercayai telah membuat pusingan U secara mengejut.

“Mangsa yang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat pelbagai kecederaan parah kesan kemalangan jalan raya (multiple fatal injuries due to motor vehicle accident).

Menurutnya, pemandu Proton Wira berkenaan dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan dan polis sedang giat mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ibrahim Usman di talian 09-7257222.

Mohd Khairi turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah, mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas, selain mengamalkan sikap bertimbang rasa bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here