Home Buletin Semasa KLAS OKU JADI PLATFORM GILAP BAKAT ATLET PARA KELANTAN

KLAS OKU JADI PLATFORM GILAP BAKAT ATLET PARA KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 60 peserta orang kurang upaya (OKU) dari seluruh Kelantan menyertai Kursus Latihan Asas Sukan Orang Kurang Upaya (KLAS OKU) Peringkat Negeri Kelantan 2026 sebagai platform mencungkil dan membangunkan bakat atlet para sebelum bersaing di peringkat lebih tinggi.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan serta Kelab Senamrobik Bechah Laut itu memberi tumpuan kepada tiga jenis sukan iaitu bola tampar duduk, futsal dan stacking sports.

Pengarah JBS Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan minat dan potensi golongan OKU dalam bidang sukan di negeri ini amat besar serta wajar terus diberikan ruang untuk berkembang.

“Ketiga-tiga acara berkenaan adalah antara sukan yang akan dipertandingkan dalam Kejohanan Liga Sukan Orang Kurang Upaya (LISOKU), sekali gus menjadikan kursus itu sebagai persediaan awal kepada peserta sebelum melangkah ke gelanggang pertandingan.

“Program ini membekalkan peserta dengan pengetahuan asas, kemahiran teknikal serta pendedahan kepada peraturan permainan bagi membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup KLAS OKU Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dewan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini, semalam.

Beliau berkata, kursus itu dilaksanakan berasaskan konsep ‘Belajar-Praktik-Nilai’, yang memberi penekanan kepada pembelajaran asas setiap sukan, latihan kemahiran melalui simulasi permainan serta penilaian prestasi bagi mengenal pasti bakat yang berpotensi mewakili Kelantan pada kejohanan akan datang.

“Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran sukan, malah membentuk disiplin, semangat berpasukan, keyakinan diri dan daya saing positif dalam kalangan peserta,”katanya.

Mohd Saipuddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sentiasa komited memastikan pembangunan sukan bersifat inklusif dengan menyediakan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

“Kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Dengan latihan yang sistematik serta sokongan daripada keluarga, guru dan pelbagai agensi, atlet OKU mampu mengharumkan nama negeri dan negara di persada lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut berharap peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang kursus berkenaan bagi menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri, selain merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pegawai, urus setia, guru pengiring serta semua pihak yang menjayakan program itu.

Katanya, KLAS OKU diharap mencapai objektif yang ditetapkan sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan atlet para yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here