Home Buletin Semasa JIM SABAH NAFI DAKWAAN TAHANAN FILIPINA MENINGGAL DUNIA AKIBAT DEPOT SESAK

JIM SABAH NAFI DAKWAAN TAHANAN FILIPINA MENINGGAL DUNIA AKIBAT DEPOT SESAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya berlaku penahanan dalam keadaan sesak sehingga mengakibatkan ramai tahanan warganegara Filipina meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresen di negeri itu.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.

Beliau berkata, gambar-gambar yang tular di media sosial juga bukan merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan JIM Sabah.

“Semua tahanan warganegara Filipina yang ditempatkan di depot tahanan imigresen di Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

“Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan serta perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur operasi yang berkuat kuasa,” katanya.

Jelasnya mereka turut disediakan kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta menu dan keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi orang dewasa dan kanak-kanak.

“Tahanan juga diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan selain keperluan asas lain mengikut keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses penghantaran pulang tahanan warganegara Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.

Beliau berkata situasi berkenaan memberi kesan terhadap kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.

“Bagi memastikan proses repatriasi terus berjalan, JIM Sabah kini menggunakan laluan alternatif menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.

“Bagaimanapun, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan,”katanya.

Katanya JIM Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan dengan kerjasama pihak berkuasa Republik Filipina.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar atau kandungan yang tidak sahih serta mendapatkan maklumat tepat hanya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here