Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUCHING: Polis sedang menyiasat kes video tular memaparkan seorang individu dipercayai terjun dari Jambatan Darul Hana di Kuching Waterfront yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Jumaat lalu selepas rakaman video berdurasi 28 saat berkenaan menjadi tular.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan secara gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri atau orang lain.
- “Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan rakaman video tersebut serta mengesan identiti individu yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau keselamatan orang lain.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Aliff di talian 013-3115854.
IMedikel TV






