Home Hiburan MEERQEEN KETEPI PRINSIP DEMI AMANAH LAKONAN

MEERQEEN KETEPI PRINSIP DEMI AMANAH LAKONAN

KUALA LUMPUR: Meerqeen mengakui terpaksa mengetepikan prinsip yang dipegang apabila menerima tawaran membintangi drama seram. Sebelum ini, dia bertekad untuk tidak berlakon dalam naskhah genre itu sehingga adik bongsunya berusia 10 tahun.

Memetik laporan Berita Harian, Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, berkata, dia hanya mengetahui drama terbabit bergenre seram ketika menghadiri sesi pembacaan skrip.

Menurutnya, prinsip menolak drama seram dipegang kerana bimbang kesejahteraan dan keselamatan adik kesayangan, Shaqeel, yang kini berusia lima tahun.

“Sebenarnya, kami semua terkejut kerana pada awalnya menyangka drama ini hanya sebuah naskhah psikologi thriller. Namun, apabila menghadiri sesi pembacaan skrip, barulah kami tahu ia sebenarnya drama seram.

“Saya memang sudah tetapkan prinsip untuk tidak membintangi cerita seram sehingga adik saya berusia 10 tahun. Sekarang dia baru lima tahun, jadi memang saya terpaksa melanggar prinsip sendiri.

“Saya buat keputusan itu kerana tidak mahu apa-apa berlaku kepada adik saya,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Meerqeen berkata, dia tetap meneruskan penggambaran kerana menganggap tawaran yang diterima adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Bagi saya, tanggungjawab tetap tanggungjawab. Sama ada mahu atau tidak, saya tetap melaksanakannya dengan ikhlas kerana itu adalah komitmen saya sebagai pelakon.

“Pada awalnya keluarga juga tidak tahu saya membintangi drama seram. Saya hanya memaklumkan perkara itu selepas beberapa hari menjalani penggambaran,” katanya.

Berkongsi pengalaman di lokasi penggambaran, Meerqeen berkata, dia tidak berdepan sebarang kejadian pelik atau gangguan mistik seperti yang sering dikaitkan dengan naskhah seram.

“Alhamdulillah, semuanya lancar. Kebanyakan penggambaran dilakukan di Kuala Lumpur dan saya biasanya pulang pada waktu siang.

“Bagi saya, bukan cerita seram sahaja mencabar. Drama biasa juga mempunyai cabarannya sendiri.

“Saya hanya fokus kepada kerja dan cuba memberi yang terbaik dalam setiap watak,” katanya.

Mengulas tanggapan bahawa karya seram sering mendapat sambutan hangat, Meerqeen berpendapat kejayaan sesebuah naskhah tidak bergantung kepada genre semata-mata.

“Ada sahaja cerita seram yang tidak berjaya. Begitu juga dengan drama biasa. Industri kreatif ini seimbang kerana penonton akan pilih apa yang mereka mahu tonton.

“Bagi saya pula, saya lebih gemar menonton dokumentari,” katanya.

Dalam pada itu, Meerqeen mengakui manusia lebih menakutkan berbanding makhluk halus.

“Daripada segi fizikal, manusia jauh lebih berbahaya dan menakutkan. Lagipun saya pernah melihat manusia, tetapi saya tidak pernah melihat hantu atau mengalami pengalaman seram,” katanya.-BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here