Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Pensijilan halal Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ramai pemimpin dunia antaranya Vietnam, China, Brazil, Peru, Ethiopia dan Afrika Selatan mahu bekerjasama membangunkan bidang berkenaan di negara mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memuji prestasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam, yang terus menunjukkan kecemerlangan dalam memperkenalkan industri halal di peringkat antarabangsa.
“Sama ada Vietnam, baik Presiden China, Presiden Lula Brazil, Presiden Ramaphosa Afrika Selatan, semuanya tanpa kecuali menyatakan Malaysia mempunyai prestasi yang baik dalam industri halal.
“Malah, mereka mahu bekerjasama untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan halal dari Malaysia yang ini saya ucapkan tahniah kepada semua, baik JAKIM dan Majlis Agama Islam, yang dapat mempertahankan prestasi kita yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang Program MADANI Kita di Politeknik Seberang Perai (PSP), di Permatang Pauh, semalam.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Dalam majlis terbabit, Anwar mengumumkan dana sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan Program Strategi Semikonduktor Bumiputera yang akan dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan pihak berkepentingan.
Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa kekuatan Malaysia tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pensijilan halal semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pembangunan industri halal yang lebih menyeluruh.
Beliau mengambil contoh perbincangannya dengan Perdana Menteri Vietnam yang berhasrat mengembangkan industri halal di negaranya serta mendapatkan pensijilan halal Malaysia.
“Dalam perbincangan itu, saya mengatakan bahawa perlu kerajaan Vietnam memerhati strategi untuk bekerjasama dengan industri halal di Malaysia.
“Ini kerana kalau pensijilan itu (diterima mereka), sekali gus harus dipantau dan pemantauan itu lebih berkesan kalau ada kerjasama dengan industri Malaysia, yang boleh bersama dalam mempertahankan kesinambungan atau kelangsungan industri halal.
Tegas Anwar, pengiktirafan dunia terhadap Malaysia juga adalah hasil daripada tadbir urus yang baik serta usaha mengelakkan penyelewengan.
“Bila kita urus dengan baik, dan elakkan daripada penyelewengan, tatakelola yang baik, dunia iktiraf kita yang bila dunia iktiraf kita, industri halal di Malaysia boleh berkembang, dan kita mengharapkan ianya menjadi kemuncak dan industri halal yang terbaik dan paling cemerlang di dunia.
“Ini cita-cita kita kerana jumpa Presiden Peru tadi, saya sebut Brazil, Presiden Ethiopia semuanya tanpa kecuali. Saya agak tertarik dengan hal ini kerana pertamanya, pensijilan itu mendapat pengiktirafan tinggi.
“Keduanya, syarikat-syarikat, baik Bumiputera atau bukan Bumiputera, bila dapat pensijilan halal, itu diberikan pengiktirafan dan penghormatan,” katanya
IMedikel TV






