Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Galas, Kampung Batu 6, Renok di sini, memasuki hari ketiga hari ini dengan pencarian diperluaskan sejauh 18 kilometer (km).
Mangsa dikenali sebagai Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, dipercayai hilang selepas bot yang dinaikinya terbalik ketika berada di Sungai Galas pada Isnin lalu.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Azrul Izham Zulkifli, berkata operasi hari ini bermula pada jam 1 tengah hari dengan pencarian tertumpu di sepanjang Sungai Galas bermula dari Kampung Limau Manis hingga Kampung Batu 6.
“Keadaan cuaca yang mendung serta arus sungai yang masih deras menjadi antara cabaran utama sepanjang operasi dijalankan.
“Operasi membabitkan seramai 35 anggota dan petugas, terdiri daripada sembilan anggota BBP Gua Musang, lapan anggota Unit PPDA, tiga anggota Unit K9 bersama seekor anjing pengesan serta dibantu 15 penduduk kampung,”katanya.
Selain itu, katanya operasi turut menggunakan sebuah bot bomba, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 12 bot milik penduduk kampung, selain aset lain termasuk sebuah FRT, dua kenderaan Hilux dan sebuah EMRS.
Pada jam 6.05 petang, beliau memaklumkan operasi SAR ditangguhkan dan akan disambung semula pada jam 9 pagi esok bagi meneruskan pencarian mangsa.
IMedikel TV






