Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Taktik licik 28 ahli sindiket penipuan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan polis Kanada untuk memperdayakan mangsa di Kanada serta Amerika Syarikat (AS) akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas dalam serbuan polis di sebuah banglo di Bukit Mertajam, baru-baru ini.
Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga Taiwan, sembilan lelaki serta lapan wanita warga Filipina, selain dua lelaki Pakistan dan lima lelaki Afrika Selatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, sindiket itu menjalankan kegiatan dengan membuat panggilan telefon sambil menyamar sebagai pegawai penguat kuasa luar negara bagi menakutkan serta memperdayakan mangsa.
“Mereka melakukan penipuan melalui phone scam dengan menyamar sebagai ejen FBI atau polis Kanada bagi memperdayakan mangsa di Kanada dan Amerika Syarikat.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk fail bercetak FBI, uniform pihak berkuasa luar negara, telefon pintar serta barangan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan menumpaskan sindiket itu adalah antara lima operasi berjaya yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang menerusi serbuan berasingan pada 15 dan 16 Julai lalu.
Katanya, dalam operasi berkenaan, polis turut menyerbu empat banglo di Tanjung Bunga, Batu Ferringhi, Pulau Tikus dan Jelutong, sekali gus menahan 79 warga asing terdiri daripada warga China, Vietnam dan Kemboja serta seorang warga tempatan.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa di China, Taiwan dan Vietnam, selain menjadikan rumah-rumah berkenaan sebagai pusat panggilan.
Dalam perkembangan lain, Kwang Keng berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun yang bekerja di sebuah pusat kitar semula turut diberkas selepas polis menemukan 3.1 kilogram (kg) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang disembunyikan di dalam pek minuman segera.
Beliau berkata, suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Teluk Ayer Tawar, Butterworth, kelmarin.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran kelab hiburan dengan harga jualan kira-kira RM150 bagi setiap paket.
“Suspek direman sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
IMedikel TV






