Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua rumah berkembar jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran berhampiran Klinik Komuniti Lubuk Pukul, Banggu di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Faizul Anuar Mohd Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 12.44 tengah hari sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, jentera dari BBP Pasir Tumboh, BBP Kota Bharu dan BBP Pengkalan Chepa tiba di lokasi pada jam 12.55 tengah hari dan mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 60 kaki x 60 kaki sedang marak terbakar.
“Kebakaran mengakibatkan rumah pertama musnah kira-kira 95 peratus.
“Turut terjejas ialah dua buah kereta dengan tahap kemusnahan masing-masing 100 peratus dan 10 peratus, selain dua motosikal yang musnah 100 peratus serta 60 peratus.
“Bagaimanapun tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini,” katanya.
Mohd Faizul Anuar berkata, ketika kerja-kerja overhaul dijalankan pada jam 1.50 petang, pihak bomba mendapati kebakaran sebenarnya turut membabitkan sebuah lagi rumah berkembar jenis separuh kekal berkeluasan 30 kaki x 30 kaki yang musnah sepenuhnya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.55 petang.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran air daripada tangki jentera bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak sebelum ketibaan jentera bantuan. Bekalan air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 1.01 petang dengan kekuatan 26 anggota membabitkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker dan sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.
Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
IMedikel TV






