Home Buletin Semasa LIMA DITAHAN, DADAH LEBIH RM8,000 DIRAMPAS DALAM DUA SERBUAN DI BACHOK

LIMA DITAHAN, DADAH LEBIH RM8,000 DIRAMPAS DALAM DUA SERBUAN DI BACHOK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini yang membawa kepada penahanan lima lelaki serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM8,000.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, operasi yang dijalankan pada 21 Julai itu menyasarkan lokasi di Kampung Alor Pulai, Jelawat dan Kampung Rekang, Repek.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan empat lelaki tempatan yang berada di dalam sebuah Proton Saga FLX yang diparkir di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Alor Pulai, Jelawat, Bachok.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg silang mengandungi tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 0.43 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan turut menemukan enam botol berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 27.46 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,231.20,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis morphine manakala seorang lagi positif amphetamine.

“Siasatan juga mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam serbuan kedua di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Rekang, Repek, Bachok pula, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek menemukan sebanyak 596 biji pil yaba dengan nilai rampasan dianggarkan RM5,960.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, manakala semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“PDRM Bachok akan terus memperhebat operasi serta tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here