Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) bakal memperketat syarat pembaharuan lesen perniagaan dengan menjadikan tahap kebersihan premis dan kawasan sekitarnya sebagai antara syarat utama, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kebersihan.
Setiausaha MDPM, Sofian Amir Che Soh, berkata langkah itu adalah antara tindakan lebih tegas yang akan dilaksanakan pihak majlis bagi memastikan pemilik premis lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
“Selain syarat pembaharuan lesen, MDPM juga akan memperkukuh penguatkuasaan termasuk mengenakan kompaun terhadap individu yang didapati membuang sampah sesuka hati.
“Kita akan lebih mengetatkan lagi melalui bidang kuasa kita. Mana-mana premis yang ingin menyambung lesen perniagaan, antara syarat utamanya ialah memastikan premis dan persekitaran di luarnya bersih.
“Kita juga akan ke arah penguatkuasaan yang lebih tegas dengan mengenakan kompaun kepada mereka yang membuang sampah dengan sengaja. Bukan untuk menakutkan masyarakat, tetapi bagi mendidik supaya lebih berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Beriadah Sambil Mengutip Sampah di Bandar Baru Lubok Jong, di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Perancang Bandar dan Desa Unit (OAC), Aini Mohamad Noor serta Pegawai Eksekutif MDPM, Mohd Izrul Hariz Mohd Rafi.
Beliau berkata, program yang bermula pada 25 Jun lalu itu dianjurkan sebagai inisiatif MDPM bersama komuniti setempat bagi membudayakan amalan menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar.
“Bandar Baru Lubok Jong dipilih sebagai projek perintis kerana kawasan itu menempatkan pejabat kerajaan, premis perniagaan dan pasar raya yang wajar menjadi contoh kepada kawasan lain.
“Sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 100 peserta terdiri daripada warga MDPM, agensi kerajaan, sektor swasta, pemilik premis serta penduduk setempat,”katanya.
Dalam program sama, beliau berkata MDPM turut mengadakan pembelian minyak masak terpakai sebagai menyokong usaha kitar semula dan berhasrat memperluaskan inisiatif itu kepada bahan-bahan lain pada masa depan.
Mengulas tahap kebersihan semasa, Sofian Amir mengakui kesedaran masyarakat masih belum memuaskan apabila jumlah sampah yang dikutip dalam program kedua hampir sama seperti program pertama.

“Kebanyakan sampah yang dikutip terdiri daripada plastik, tisu dan kertas, sekali gus menunjukkan masih ramai yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab.
“MDPM akan terus memperluaskan program itu ke kawasan lain termasuk pusat bandar Pasir Mas dan kawasan industri bagi menjadikannya satu budaya dalam kalangan masyarakat,”jelasnya.
Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran akan diperkasakan menerusi kempen media sosial, risalah serta pendidikan kepada masyarakat agar amalan menjaga kebersihan menjadi tanggungjawab bersama.
Katanya usaha berterusan itu diharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan kondusif sekali gus meningkatkan nilai pelancongan serta kesejahteraan masyarakat di daerah Pasir Mas.
Beliau berkata program itu membabitkan laluan sejauh kira-kira 3 kilometer (km), bermula dari Dataran Bandar Baru Lubok Jong hingga ke kawasan riadah dan premis perniagaan di sekitarnya.
IMedikel TV






