Home Buletin Semasa LEBIH 2.7 JUTA BENIH IKAN ASLI DILEPASKAN TAHUN LALU, PAHANG CATAT PELEPASAN...

LEBIH 2.7 JUTA BENIH IKAN ASLI DILEPASKAN TAHUN LALU, PAHANG CATAT PELEPASAN TERTINGGI

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

JERANTUT: Jabatan Perikanan melepaskan lebih 2.7 juta benih ikan asli di seluruh negara sepanjang tahun lalu, dengan Pahang merekodkan pelepasan tertinggi sebanyak 941,510 ekor sebagai usaha memulihara sumber perikanan darat dan memastikan kelestarian spesies ikan tempatan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memulihkan stok ikan asli demi menjamin kelangsungan sumber perikanan untuk generasi akan datang.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan turut melaksanakan pelbagai inisiatif secara bersepadu yang merangkumi pemuliharaan biodiversiti, pembangunan ekopelancongan serta peningkatan sosioekonomi komuniti nelayan darat.

“Di Pahang terdapat seramai 1,976 nelayan darat yang menjalankan aktiviti perikanan air tawar. Sebagai sokongan kepada golongan ini, Jabatan Perikanan menyediakan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND).

“Sehingga kini, seramai 423 nelayan darat di negeri ini menerima bantuan berjumlah RM515,750 bagi membantu meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelepasan Benih Ikan Asli di Santuari Ikan Asli Kuala Sat, di sini, kelmarin.

Mengulas prestasi sektor perikanan darat, Adnan berkata rekod tahun lalu menunjukkan jumlah pendaratan ikan darat mencecah 9,912 tan dengan nilai melebihi RM200.5 juta.

Katanya, ikan sungai menjadi penyumbang terbesar dengan pendaratan sebanyak 8,276.73 tan bernilai lebih RM185 juta, diikuti ikan tasik sebanyak 608.74 tan, ikan empangan (571.30 tan), bekas lombong (453.49 tan) dan sumber perairan lain sebanyak 1.93 tan.

“Statistik ini membuktikan ekosistem perairan darat memainkan peranan penting sebagai sumber ekonomi, selain memerlukan pengurusan yang mampan bagi memastikan hasilnya terus berkekalan.

“Hasil perikanan darat dijangka terus meningkat pada masa hadapan, khususnya menerusi usaha pelepasan benih ikan asli yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata lada program itu, sebanyak 32,000 benih ikan tempatan membabitkan spesies kelah dan lampam sungai dilepaskan ke habitat semula jadi.

Sementara itu, Adnan berkata Santuari Ikan Asli Kuala Sat bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan konservasi dan perlindungan spesies ikan air tawar tempatan, malah menjadi antara destinasi ekopelancongan berasaskan konservasi.

Katanya, santuari berkenaan menerima kira-kira 3,500 pelancong tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu, manakala dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah pengunjung sudah mencecah 2,500 orang.

“Pahang kini mempunyai enam Santuari Ikan Asli, dengan empat daripadanya terletak di Lipis dan dua lagi di Jerantut termasuk Santuari Ikan Asli Kuala Sat,”katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkanvJabatan Perikanan turut memperkukuh pembangunan komuniti nelayan menerusi pelaksanaan Program myKomuniti Perikanan (myKP) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here