Kuala Lumpur : Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro mendedahkan pernah melalui detik paling sukar dalam hidup apabila menanggung kerugian hampir RM600,000 hingga terpaksa menjual rumah di Johor bagi menampung kos produksi.
Memetik laporan Harian Metro, Menerusi hantaran yang dikongsi di akaun Instagram miliknya, ujian yang berlaku sekitar 2023 itu menyebabkan dia menggunakan semua wang simpanan selain modal yang dipinjam daripada seorang kenalan untuk meneruskan operasi produksi sebelum gagal memperoleh bayaran semula.
“Saya pernah diuji jatuh tiba-tiba pada 2023. Saya guna semua duit simpanan dan seorang lagi hamba Allah yang kongsikan modal pada saya untuk produksi.
“Bila tak dapat bayaran semula, saya terpaksa jual rumah di Johor dan gunakan duit sendiri untuk bayar kos. Kesemuanya hampir RM600,000,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, ketika melalui tempoh sukar itu, dia tidak pernah berkongsi masalah kewangannya dengan rakan baiknya, pelawak Shuib Sepahtu.
Bagaimanapun katanya, Shuib seolah-olah menyedari keadaan yang dialaminya apabila mengirimkan rakaman video mendoakannya di hadapan Kaabah ketika mengerjakan umrah.
“Masa dia pergi umrah tiba-tiba dia hantar video yang dia doakan aku depan Kaabah. Secara jujurnya, aku memang tengah teruk waktu itu. Hutang keliling pinggang dan aku rasa macam dah tak nampak jalan.
“Tapi entahlah, daripada kata-kata kau dalam doa itu aku rasa macam semuanya dipermudah. Hutang masih ada, tapi semakin susut. Benda yang aku tak pernah terfikir, tiba-tiba Allah hadirkan daripada jalan yang aku sendiri tak sangka,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ajak turut menzahirkan penghargaan kepada Shuib atas doa dan persahabatan yang sentiasa diberikan sepanjang mereka berkawan.
Dia turut mengajak orang ramai mendoakan kesejahteraan Shuib, selain berharap sahabatnya itu sentiasa dilindungi, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan rezeki yang melimpah.-HMetro Online-
IMedikel TV






