Madrid: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal mendedahkan Lionel Messi memberikan kata-kata penuh bermakna kepadanya sejurus tamat final Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0.
Memetik laporan Harian Metro, Sepanyol muncul juara dunia selepas Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 dalam aksi di New Jersey.
Perlawanan itu menyaksikan Argentina gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gawang sepanjang 120 minit, manakala Sepanyol menguasai permainan tetapi hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada masa tambahan.
Suasana selepas wisel penamat dicemari insiden pergaduhan apabila beberapa pemain dan pegawai Argentina didakwa menyerang pemain Sepanyol sehingga mendorong Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuka siasatan.
Bagaimanapun, Messi tidak terbabit dalam insiden itu, sebaliknya memilih memeluk Yamal yang kini bergelar juara Eropah dan juara dunia pada usia hanya 19 tahun.
Detik penuh emosi itu dianggap seolah-olah Messi menyerahkan legasi kepada bintang muda Sepanyol berkenaan.
“Dia adalah pemain terhebat sepanjang zaman dan individu yang sentiasa saya kagumi. Selepas perlawanan, saya mahu menunjukkan rasa hormat kepadanya.
“Dia berpesan supaya saya terus mengikut haluan sendiri dan masa depan adalah milik generasi kami. Kata-kata itu lebih berharga daripada pingat emas yang tergantung di leher saya,” kata Yamal.
Yamal berkata, dia sukar mempercayai impian itu menjadi kenyataan.
“Jika beberapa tahun lalu ada orang memberitahu saya bahawa saya akan menjulang Piala Dunia selepas beraksi menentang Lionel Messi, saya pasti menganggap mereka gila,” katanya.
Messi, 39, sebelum ini turut memuat naik kenyataan di media sosial mengenai kekecewaan mendalam selepas tewas dalam apa yang dijangka menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.-HMetro Online-
IMedikel TV






