Home Hiburan IEDA MOIN KESAL LAYANAN ‘DOUBLE STANDARD’ INDUSTRI SENI

IEDA MOIN KESAL LAYANAN ‘DOUBLE STANDARD’ INDUSTRI SENI

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Ieda Moin berkongsi pengalaman apabila ditawarkan bayaran yang tidak setimpal sepanjang bergelar anak seni selama tiga dekad.

Memetik laporan Harian Metro, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 47, berkata, dia pernah ditawarkan bayaran serendah RM500 untuk watak sebuah episod berdurasi satu jam oleh pihak produksi, baru-baru ini.

“Sakit hati saya, rasa macam nak kembali ke tahun 2006. Dulu kami rasa industri ini sangat meriah, tetapi sekarang terpaksa berhadapan dengan harga-harga yang tidak sepatutnya.

“Sampai saya tanya kepada Pengurus Produksi terbabit, dah berapa lama dia bekerja dan adakah dia tahu berapa lama saya sudah berada dalam industri? Bukan niat mahu berlagak.

“Kita memang ada ‘rate card’ dan harga standard sendiri. Tetapi, bila ada artis yang sanggup ambil harga serendah itu dan tindakan mereka sebenarnya membunuh harga pasaran artis-artis lain,” katanya ketika ditemui si sidang media drama Ate Kome, I Love You, baru-baru ini. 

Menurutnya, situasi berkenaan berlaku bukan disebabkan pihak produksi tiada bajet, sebaliknya wujud sikap pilih kasih di antara artis senior dan artis baharu.

“Kalau dulu pergi penggambaran, baju disediakan. Sekarang kita faham susah nak dapat penaja, jadi kita boleh bawa separuh (baju sendiri). Kalau mereka bantu cara begitu, tidak mengapa.

“Ini jenis yang tentukan kita kena pakai baju apa, itu ini tidak boleh, penaja pula tiada, tetapi bajet kita pula yang nak dipotong lagi.

“Bukan kita nak berkira sebab kita mahu bekerja dengan gembira, cuma janganlah berkira dengan kami soal makan atau pakaian dan jangan memperlecehkan kerja orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada dia berkecil hati dengan layanan ‘double standard’ itu, Ieda mengakui perasaannya agak terguris memandangkan dia sudah 30 tahun mengabdikan diri dalam industri seni ini.

“Tipulah kalau kata tidak terasa. Bagi saya, apa yang dinikmati artis baru itu adalah rezeki mereka, kita tidak pertikaikan atau cemburu.

“Tetapi, bagi pihak yang bekerjasama dengan kita, yang sudah tahu pencapaian dan tempoh kita dalam industri, mereka sepatutnya tahu bagaimana mahu menghargai kita melalui bayaran yang diberikan.

“Bila mereka beri harga sedemikian, seolah-olah meletakkan komitmen dan kerja keras kita di bawah tapak kaki mereka. Ia sangat menyedihkan,” kongsinya.

Menurut Ieda, dia lebih rela tidak menerima sebarang tawaran kerja daripada menurunkan kadar bayarannya demi menjaga pasaran harga industri seni.

“Bila difikirkan semula, memang artis ramai dan masing-masing cari rezeki. Tetapi saya tidak akan telan (terima) perkara itu. Saya sedih sebab ada artis yang sanggup ambil harga itu.

“Pernah saya tengok sebuah cerita yang sudah selesai penggambaran, saya tengok watak itu sepatutnya watak saya.

“Saya terfikir, takkanlah dia (pelakon itu) sanggup ambil harga berkenaan? Perkara itu memang tidak boleh diterima akal.

“Bagi saya, bayaran RM500 untuk pelakon ekstra pun sebenarnya boleh dapat lebih daripada itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ieda tampil membintangi drama romantik komedi terbaharu berjudul Ate Kome, I Love You di Viu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here