Home Sukan SINGKIR ENGLAND 2-1, ARGENTINA KINI DIHANTUI ‘SUMPAHAN AKHIR’ PIALA DUNIA

SINGKIR ENGLAND 2-1, ARGENTINA KINI DIHANTUI ‘SUMPAHAN AKHIR’ PIALA DUNIA

NEW JERSEY: Misi Argentina untuk memburu kejuaraan dunia keempat bakal diuji menjelang aksi final menentang Sepanyol di Stadium MetLife.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, bagaimanapun, di sebalik keghairahan itu, skuad Albiceleste kini memikul bebanan sejarah berupa ‘sumpahan unik’ yang mula menghantui kejohanan sejak edisi 2018.

Badi berkenaan menyaksikan mana-mana pasukan yang menyingkirkan England dengan keputusan 2-1 di peringkat kalah mati pada dua edisi terdahulu (Russia 2018 dan Qatar 2022) akhirnya akan kecundang di pentas final.

Situasi ini mencetuskan kegusaran memandangkan Argentina mara ke perlawanan akhir edisi kali ini juga selepas menewaskan The Three Lions dengan keputusan yang sama, 2-1 di separuh akhir.

Rentetan misteri ini bermula dua edisi lalu membabitkan Croatia.

Skuad kendalian Zlatko Dalic mengejutkan England di separuh akhir 2018 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 menerusi gol masa tambahan Mario Mandzukic.

Namun, impian Croatia musnah di pentas final selepas tunduk 4-2 kepada Perancis.

Empat tahun kemudian di Qatar, Perancis pula menjadi mangsa sumpahan terbabit.

Bertemu England di suku akhir, Les Bleus menang 2-1 selepas sepakan penalti minit akhir Harry Kane melambung tinggi.

Walau bagaimanapun, nasib malang Croatia menimpa Perancis di perlawanan akhir apabila tewas dalam penentuan penalti yang mendebarkan menentang Argentina meskipun Kylian Mbappe meledak hatrik.

Meskipun statistik sejak 2018 tidak menyebelahi mereka, Argentina sebenarnya mempunyai rekod sejarah yang mampu membakar semangat.

Skuad Albiceleste pernah menewaskan England 2-1 di suku akhir 1986 menerusi dua gol ikonik Diego Maradona termasuk gol ‘tangan tuhan’, sebelum meneruskan kemaraan untuk menewaskan Jerman Barat 3-2 di final bagi menjulang trofi.

Langkah kanan itu turut diulangi seteru utama mereka, Brazil pada edisi 2002.

Skuad Canarinha menewaskan England 2-1 di suku akhir menerusi jaringan Rivaldo dan Ronaldinho, sebelum Ronaldo Nazario meledak dua gol di pentas final menentang Jerman untuk membawa pulang bintang kelima mereka.

Sama ada sumpahan moden sejak 2018 ini akan berterusan atau Argentina mampu mengulangi magis 1986 untuk meleburnya, segala-galanya bakal terjawab pada aksi penentu. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here