Home Hiburan SAYA BUKAN KECAM HAKIM – RAJA AZURA

SAYA BUKAN KECAM HAKIM – RAJA AZURA

KUALA LUMPUR: Susulan kecaman yang tercetus terhadap hakim Mahkamah Syariah selepas potongan klip podcastnya tular di media sosial, pengacara dan pelakon, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin tampil memperbetulkan persepsi dengan menegaskan dia sama sekali tidak berniat mempertikaikan institusi kehakiman.

Memetik laporan Berita Harian, sebaliknya, Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku berkata, perkongsiannya menerusi podcast Too Pretty To Handle disalah tafsir apabila potongan klip yang tular di media sosial tidak memaparkan keseluruhan konteks perbualan.

Jelasnya, tujuan asal perkongsian itu adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya wanita yang bakal melalui prosiding tuntutan nafkah di mahkamah, bukannya mengkritik atau mempersoalkan kewibawaan institusi kehakiman.

Menurut Raja Azura, pengalaman dikongsikan hanya berkisar mengenai situasi yang dilaluinya ketika prosiding tuntutan nafkah anak-anak yang tertunggak selama 15 tahun, termasuk bentuk soalan yang diajukan hakim.

“Penonton perlu faham keseluruhan konteks perkongsian saya. Mungkin kerana kandungan itu dipotong-potong, orang jadi salah faham.

“Apa yang saya kongsikan hanyalah sebagai ilmu dan pengetahuan kepada mereka yang mungkin akan melalui proses sama di mahkamah,” katanya kepada BH Online.

Mengulas reaksi segelintir netizen yang menyalahkan hakim selepas menonton klip berkenaan, Raja Azura menegaskan dia sama sekali tidak berniat mengecam atau mempertikaikan tindakan mahkamah.

Sebaliknya, beliau mengingatkan orang ramai supaya menghormati institusi kehakiman serta tidak membuat kesimpulan berdasarkan petikan video yang tidak lengkap.

“Hakim belajar bertahun-tahun untuk menjadi seorang hakim, jadi kita perlu menghormati mereka.

“Saya langsung tidak berniat mengecam atau mengatakan hakim tidak sepatutnya bertindak begitu atau begini. Itu bukan tujuan saya,” katanya.

Raja Azura berkata, dia memilih berkongsi pengalaman sendiri supaya wanita yang bakal melalui prosiding sama mempunyai sedikit gambaran mengenai perjalanan kes di mahkamah.

Katanya, antara perkara yang dikongsikan ialah bentuk soalan yang mungkin dikemukakan hakim sepanjang prosiding.

“Saya cuma berkongsi pengalaman dan kemungkinan soalan yang akan ditanya ketika prosiding. Saya harap orang ramai melihatnya sebagai satu ilmu yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Sebelum ini, Raja Azura mendedahkan pengalaman ketika prosiding tuntutan nafkah anak-anak yang dianggarkan hampir RM1 juta bagi tunggakan sepanjang 15 tahun terhadap bekas suaminya, Adzmin Osman.

Dalam pada itu, Raja Azura berkata, dia juga tidak pernah menghalang bekas suaminya daripada bertemu anak-anak dan tidak menyimpan sebarang perasaan bermusuh.

Katanya, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam berdepan ujian hidup, namun baginya, berlapang dada adalah jalan terbaik.

“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa. Terpulang kepada masing-masing sama ada mampu berlapang dada atau tidak.

“Saya hanya berkongsi pengalaman hidup saya, selebihnya biarlah orang ramai mengambil mana-mana pengajaran yang dirasakan bermanfaat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here