Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menampilkan empat muka baharu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal baharu, manakala enam Exco sedia ada dikekalkan dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pelantikan itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Empat Exco baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md. Israk Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar; ADUN Panti, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali (Pendidikan dan Penerangan); ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); serta ADUN Perling, Pannir Selvam Paliksina (Perpaduan, Warisan dan Budaya).
Enam Exco yang dikekalkan ialah Datuk Mohd Jafni Md. Shukor (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam), Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi), Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar).
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan barisan Exco itu berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.
Onn Hafiz berkata, semua Exco baharu perlu terus bekerja tanpa berlengah bagi melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.
“Saya telah ingatkan semua barisan Exco kita tiada masa untuk berbulan madu. ‘No Honey Moon’, mandat besar dan berharga yang diberikan Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada kerja yang lebih kuat, penyampaian lebih cekap dan hasil yang dapat dirasai oleh setiap Bangsa Johor.
“Keutamaan Johor selepas ini adalah untuk meneruskan Agenda Maju Johor 2030.
“Kita semua Bangsa Johor. Saya turut memohon doa agar seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT,” katanya.
IMedikel TV






