SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, di sini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi KPDN, pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai dipotong daripada bungkusan asal sebelum dijual kepada pemborong minyak masak terpakai bagi meraih keuntungan melalui penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
“Siasatan awal turut mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual.
“Pasukan serbuan kemudian menyita kira-kira 6,426 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 13 unit tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik, corong, hos penyambung, sebuah lori rigid, peralatan memotong bungkusan minyak masak, kotak pembungkusan serta beberapa unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi sama, enam individu berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan, membabitkan seorang lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga asing.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
“Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu atau syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan ini,” jelas kenyataan itu.
KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Menurut kenyataan itu, menerusi Ops Tiris 4.0 yang bermula pada 16 Mac lalu, pihak berkuasa berjaya menumpaskan penyelewengan minyak masak melalui 137 kes rampasan membabitkan sitaan sebanyak 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02.
IMedikel TV






