KOTA BHARU: Kontinjen Malaysia mengharumkan nama negara apabila meraih pingat gangsa pada Pilot-X Aerospace Competition & Exploration Programme, Hong Kong 2026.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, kejayaan itu membuktikan kurikulum Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang dipelajari di bilik darjah mampu diterjemahkan kepada pencapaian bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, membuktikan bahawa kurikulum RBT yang dipelajari di bilik darjah mampu diterjemahkan menjadi impak bertaraf global.
“Siapa sangka, bermula daripada asas aplikasi praktikal RBT dan penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di sekolah, anak didik kita kini mampu melangkah gagah menjadi juara di pentas dunia,” menurut hantaran itu.
Kontinjen Malaysia diwakili Pegawai Teknikal JPN Kelantan, Mohd Kamil Ahmad Tajuddin; Guru Pengiring merangkap Guru RBT SK Nik Daud, Tanah Merah, Muhamad Amirul Asyraf Mah Hassan; serta dua peserta, Che Muhammad Mishal Riffat Che Mohd Nizam dan Muhammad Faheem Mikhail Zainuddin.
JPN Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada warga SK Nik Daud, Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta semua pihak yang memberikan sokongan sehingga kejayaan itu berjaya dicapai.
Menurut hantaran itu, kejayaan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai murid dan guru untuk terus meneroka potensi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), robotik, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi aeroangkasa.
IMedikel TV






