Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang remaja perempuan maut dalam satu kemalangan jalan raya selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Simpang Pondok Polis Lojing, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, dua lagi mangsa iaitu seorang remaja wanita dan dua lelaki mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Che Razak Harun, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada pihak polis sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada jam 5.01 petang, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Kelisa yang terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.
“Seorang wanita berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital oleh ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia daripada kenderaan pada jam 5.05 petang sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi membabitkan seramai 11 anggota daripada BBP Gua Musang dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
IMedikel TV






