Home Buletin Semasa JIM BONGKAR TAKTIK PREMIS PERNIAGAAN JADI TOPENG BEKAL PEKERJA ASING, MAJIKAN MYPR...

JIM BONGKAR TAKTIK PREMIS PERNIAGAAN JADI TOPENG BEKAL PEKERJA ASING, MAJIKAN MYPR DITAHAN

32
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikelTV

SEMENYIH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh berstatus Pemastautin Tetap (MyPR) yang disyaki terbabit mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dalam satu Operasi Khas di dua lokasi sekitar Semenyih, Selangor, pada 15 Julai lalu.

Menerusi kenyataan di laman rasmi, operasi bermula jam 12.20 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan di sebuah premis perniagaan dan premis makanan.

“Dalam operasi berkenaan, JIM menahan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 57 tahun.

“Mereka membabitkan lima warga Bangladesh serta seorang wanita warga Thailand, termasuk lelaki warga Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai pemilik syarikat dan majikan,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan semakan awal mendapati suspek utama memiliki status MyPR, manakala seorang lagi lelaki warga Bangladesh memiliki Pas Pelajar dan wanita warga Thailand memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (Pekerja Restoran).

“Warga asing lain pula didapati tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Turut disita dalam operasi itu ialah 31 naskhah pasport Bangladesh, satu pasport Thailand, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524,”jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menguruskan serta membekalkan pekerja asing tanpa kelulusan sah dengan menyasarkan majikan tempatan, khususnya di sekitar Lembah Klang yang memerlukan tenaga kerja asing.

“Kegiatan itu dipercayai berselindung di sebalik premis perniagaan dan premis makanan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Suspek juga dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM4,000 bagi setiap individu untuk menguruskan dan memperbaharui pas,”menurut kenyataan.

Menurut kenyataan suspek utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga asing lain disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,”jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here