Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN TELITI DAKWAAN TULAR BERKAITAN STATUS HALAL PREMIS MAKANAN

KERAJAAN KELANTAN TELITI DAKWAAN TULAR BERKAITAN STATUS HALAL PREMIS MAKANAN

20
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneliti dakwaan yang tular di media sosial berkaitan status halal beberapa premis makanan di negeri ini sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata beliau akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Menurutnya, sekiranya terdapat maklumat atau bukti yang memerlukan tindakan, kerajaan negeri akan menjalankan penelitian serta siasatan awal.

“Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada JAHEAIK. Jika benar ada perkara yang dibangkitkan, kita akan teliti dan buat siasatan awal.

“Pihak kerajaan negeri sudah ambil maklum, kalau kita sudah tahu memang kita akan terus buat pemantauan dan pemeriksaan.

“Jadi saya akan dapatkan maklumat terperinci daripada JAHEAIK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas pertanyaan media mengenai pendedahan di satu laman media sosial yang didakwa memaparkan premis makanan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyerahkan sijil pengesahan halal kepada 17 cawangan Nasken Coffee di Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn Bhd, Mohd Nazif Ab Aziz.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan SPHM sebagai antara agenda utama bersama Kerajaan Persekutuan.

Katanya, proses permohonan SPHM di Kelantan disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari sekiranya semua syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Beliau berkata, pemeriksaan bagi tujuan pensijilan halal meliputi aspek premis, produk dan pekerja sebelum kelulusan diberikan JAHEAIK.

“Kelewatan proses permohonan lazimnya berpunca daripada premis yang masih belum bersedia atau perlu melakukan penambahbaikan bagi memenuhi syarat pensijilan,”katanya.

Mohd Asri turut menegaskan persepsi bahawa premis makanan di Kelantan tidak memerlukan sijil halal kerana majoriti penduduknya beragama Islam perlu diubah.

Sebaliknya, beliau berkata, pensijilan halal mampu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sesebuah premis, selain memberi nilai tambah kepada perniagaan.

Beliau turut menggesa lebih banyak pengusaha premis makanan mendapatkan SPHM serta memastikan aspek halal, kebersihan dan etika penyediaan makanan sentiasa dipelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here